KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat mengemukakan rang undang-undang (RUU) Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi membendung kes penghinaan agama di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, akta itu meliputi agama Islam dan agama-agama lain di negara ini. Katanya, sesiapa yang menghina mana-mana agama boleh diambil tindakan di bawah akta ini. "Ini bagi menjamin kuasa yang ada dalam negara ini yang pelbagai kaum dan agama, perlu diberi perlindungan agar mana-mana agama sekali pun dilarang dicaci dan dimaki," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN- Kuala Krau) di Dewan Rakyat pada Selasa. Dalam soalannya, Ismail ingin tahu langkah kerajaan membendung kes penghinaan agama di media sosial. Ismail memberi contoh baru-baru ini seorang lelaki yang memuat naik status di Facebook menyentuh sensitiviti agama. Mengulas mengenai kes tersebut, Mujahid berkata, pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada pihak polis untuk diambil tindakan. Sementara itu, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pertemuan dengan golongan ulama serta cendiakawan Islam pada 31 Julai ini bagi bertukar pandangan mengenai pelaksanaan Islam. Ia termasuk bagi menjelaskan mengenai kenyataan Dr Mahathir berkenaan sunnah. - Sinar Harian