MIRI: Mayat guru wanita yang rentung dalam kebakaran kuarters kediaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu awal pagi Rabu telah dikenalpasti sebagai Catherine Janet Tiwi. Ketua Polis Daerah Marudi DSP Gabriel Risut berkata, mayat mangsa yang berusia 25 tahun itu sudah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan dan waris. “Buat masa ini punca kebakaran masih disiasat namun setakat ini tiada unsur perbuatan khianat,” katanya ketika dihubungi Bernama. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, bapa mangsa bekerja sebagai anggota Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Bau sementara mangsa ialah guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri. Dalam kebakaran pukul 5.09 pagi tadi dua orang guru wanita turut melecur setelah dua buah kuarters kediaman SK Batu Bungan hangus dijilat api.- Bernama