BERANANG: Keluarga kepada seorang kakitangan Kementerian Kesihatan, Allahyarham Norashida Abd Karim, 33, menggesa orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak benar berkaitan kematian wanita berkenaan. Abang kepada Allahyarham, Zuhairy berkata, segelintir masyarakat telah membuat pelbagai andaian dan berkongsi maklumat yang salah berhubung kematian adiknya itu. “Kisah sebenar adalah anak adik saya telah meninggal dunia di dalam kandungan sebelum dilahirkan pada Ahad lalu, ia dipercayai berpunca, tali pusat terbelit di lehernya, usia kandungan pula adalah 34 minggu,” katanya. Menurutnya, selepas bersalin, adik ketiga daripada lima beradik itu pula koma. “Sebelum Norashida koma, keadaan dia normal, minta makan dan minum, namun dia tiba-tiba pengsan dan koma, kemudian meninggal dunia pada pukul 10 malam,” kongsinya. Zuhairy berkata, adiknya meninggal dunia akibat Pulmonary Embolism iaitu darah beku dalam saluran darah ke paru-paru, bukan disebabkan pendarahan seperti yang ditularkan di laman sosial. “Arwah meninggalkan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, namun apa yang ditularkan adalah kanak-kanak tersebut berusia lima tahun, hal ini tidak benar. “Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana masyarakat tidak tahu perkara yang sebenar berhubung kematian adik saya,” katanya. - Sinar Harian