suria

AIFW 2018 batal saat akhir, angkara siapa?

PETALING JAYA: Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) yang berjaya mencipta fenomena luar biasa tahun lalu tercemar apabila acara bertaraf antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada Khamis itu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Bukan seminggu atau sehari lebih awal, tetapi ia dibatalkan hanya beberapa jam sebelum acara yang disertai oleh pereka fesyen dari beberapa negara itu dijadualkan berlansung di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC).

Seramai 30 pereka fesyen terpaksa menerima hakikat bahawa acara tersebut tetap tidak dapat diteruskan disebabkan oleh masalah sewaan lokasi acara yang gagal dilunaskan oleh pihak penganjur.

Antara pereka tersebut adalah dari negara Malaysia, Indonesia, Iran, Uzbekistan dan United Kingdom.

Seorang pereka fesyen dari Malaysia, Hazreen Nursuraya Hashim berkata, pihaknya menanggung kerugian sekitar RM10,000 yang melibatkan kos pengangkutan, penginapan kru dan sewa tapak pameran.

Hazreen Nursuraya memuat naik permohonan maaf kerana tidak dapat menjayakan AIFW 2018 yang dibatalkan oleh penganjur pada saat akhir.

"Saya bukan sekadar kerugian wang ringgit, tapi juga masa untuk persediaan selama hampir dua bulan terbazir begitu sahaja.

"Walaupun butik saya beroperasi di Johor Bahru, tetapi saya membawa stok dari Arab Saudi memandangkan saya menetap di negara itu," katanya yang juga seorang pramugari syarikat penerbangan Saudia.

Tambah pemilik jenama abaya Nursuraya itu, dia ingin menuntut bayaran balik daripada pihak penganjur sebagai ganti rugi.

Bagi wanita berusia 30 tahun itu, insiden pembatalan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana ia mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia.

Sementara itu, seorang pengurus besar sebuah jenama fesyen tempatan yang enggan dikenali berkata, pihaknya terkilan apabila pihak penganjur tidak memohon maaf dengan insiden yang berlaku.

"Pihak kami dihubungi sekitar pukul 10 malam untuk dimaklumkan mengenai pembatalan AIFW 2018.

"Kami tahu pun lewat sebab tidak menghadiri majlis pembukaan. Mereka yang dah sampai di sana mungkin dapat tahu lebih awal," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambahnya lagi, pihaknya tidak bercadang untuk menyertai AIFW pada masa depan memandangkan penangguhan acara tersebut pernah berlaku pada Mac lalu.

Enggan keadaan semakin keruh, wakil pihak penganjur berkata kepada mStar Online, punca utama acara fesyen itu tidak dapat diteruskan adalah kegagalan membuat bayaran penuh kepada MECC sebelum AIFW2018 berlangsung.

Kerja-kerja pemasangan pentas telah dijalankan untuk AIFW 2018, namun terpaksa dibatalkan.

"Pihak pengurusan AIFW tidak berjaya membayar pada waktunya seperti yang dijanjikan walaupun MECC telah memberi dua kali peluang sebelum ini.

"Kami faham apabila pemilik tempat tidak boleh bertolak ansur selagi bayaran penuh sebanyak RM200,000 untuk acara selama empat hari itu dilunaskan.

"Semua ini berpunca apabila pihak penaja menarik diri pada saat-saat akhir atas sebab yang tidak boleh saya kongsikan," kata wakil tersebut.

Namun jelasnya, pihak penganjur juga menjadi mangsa keadaan dan berasa mereka disabotaj oleh pihak tertentu atas kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, penganjur AIFW memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya di atas insiden tersebut dan akan membayar ganti rugi kepada mereka yang terlibat.

"Kami nak jayakan AIFW2018 ini bukan untuk kaut keuntungan semata-mata, tapi nak memartabatkan fesyen muslimah dan menjadi pelopor di rantau ini.

"Rasa terkilan apabila negara sendiri tidak memberi sokongan dan kecewa dengan pihak penaja serta pihak yang selama ini melaungkan pemerkasaan wanita, tapi realitinya masing-masing hanya nak jayakan agenda peribadi," jelasnya.

AIFW2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain