suria

Lukisan dinding setinggi 25 tingkat catat rekod MBOR

KUALA LUMPUR: Terkenal dengan hidangan 'chicken chop' hainan Yut Kee, kini Jalan Kamunting memiliki satu lagi tarikan apabila menjadi lokasi lukisan dinding tertinggi di negara ini.

Lukisan dinding setinggi 25 tingkat yang menghiasi hotel RED oleh Sirocco itu menerima pengiktirafan oleh Malaysia Book Of Records (MBOR).

Artis grafiti Kenji Chai dari Sabah yang mengambil masa selama 21 hari untuk menyiapkan lukisan setinggi 87.1 meter tersebut berkata, dia ingin mengetengahkan keunikan Malaysia dan kekayaan budaya menerusi hasil karyanya.

"Saya sayang negara saya dan saya mahu semua orang dapat merasai keindahannya.

"Salah satu cara terbaik untuk menunjukkannya adalah melalui seni yang semua orang boleh lihat dan hargai," katanya ketika majlis pembukaan hotel tersebut pada Selasa.

Lukisan yang bertajuk Courage To Dream (Berani Bermimpi) itu menunjukkan wanita Dayak, tropika dan fauna serta penjaja setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitaliti Sirocco, Datin Lea Chan berkata, ia adalah penting bagi pihak hotel untuk meraikan seni tempatan.

"Kami percaya dengan mengetengahkan bakat tempatan dan kerana itulah kami mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Chai untuk melukis dinding ini dengan cantik.

"Suami dan saya juga mahu mempamerkan koleksi seni oleh artis tempatan di hotel ini," tambahnya.

Jelas Chan, hotel yang terletak di Dang Wangi itu secara tidak langsung akan memperkenalkan tarikan setempat yang menakjubkan kepada para pelancong.

"Dang Wangi dari dulu lagi menjadi bahagian yang penting untuk Kuala Lumpur.

"Walaupun ia terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, ia masih mampu mengekalkan keunikan setempat, daripada makanan hingga ke budaya," katanya.

Hotel Red

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain