SHAH ALAM: Tujuh Orang Kena Tahan (OKT) mengalami cedera ringan apabila sebuah trak polis terbalik di selekoh simpang masuk Mahkamah Klang, Jumaat pagi. Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, empat anggota polis yang berada dalam kenderaan itu turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian pukul 8.45 pagi. "Dalam trak black maria itu terdapat 23 OKT dan empat anggota polis pengiring dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. "Setibanya di selekoh mahkamah, trak itu terbalik dan pemeriksaan mendapati tujuh OKT termasuk empat anggota polis mengalami kecederaan ringan sementara yang lain hanya terdapat kesan calar di beberapa bahagian badan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat. Beliau berkata, OKT yang cedera telah menerima rawatan awal di mahkamah dan pemeriksaan lanjut ke atas mereka akan dibuat selepas proses kes mahkamah mereka hari ini selesai.-- Bernama