suria

Tahap celik politik belia di Malaysia masih rendah

SHAH ALAM: Tahap celik politik golongan belia terutama mereka berusia 16 tahun di negara ini masih di tahap rendah berbanding negara-negara maju di Eropah.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, situasi tersebut boleh menjurus kepada manipulasi sokongan kerana tahap kematangan berpolitik yang rendah.

Menurutnya, remaja berusia 16 tahun masih berada di bangku sekolah dan mereka sepatutnya memberi fokus kepada pelajaran.

“Jika mahu menurunkan had umur bagi menyertai parti, pendidikan asas berkaitan politik dan demokrasi itu perlu ajar terlebih dahulu sebelum mereka terlibat dengan parti.

“Sepatutnya perlu ada kajian menyeluruh mengenai sejauh mana anak muda berusia bawah 25 tahun aktif dalam Pemuda dan Puteri Umno,” katanya.

Pada Jumaat, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan turunkan had umur ahli kepada 16 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

Katanya, ia selaras untuk memenuhi hasrat akar umbi Umno dan bagi memastikan beberapa perubahan dapat dilakukan pada struktur organisasi parti itu.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, sekiranya pengundi muda tidak menyokong Umno, parti itu sepatutnya membuat kajian menyeluruh mengapa anak muda yang dipimpin oleh bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin ditolak dalam PRU14.

“Apakah perlu dipelajari kepimpinan muda baru terpilih agar tak mengulang kesilapan yang serupa. Aspek ini lebih penting dibuat terlebih dahulu oleh kepimpinan pemuda umno sebelum hendak menarik golongan muda.

“Anak bawah 18 atau16 tahun masih lagi dipengaruhi oleh ideologi politik ayah atau ibu mereka maka ini dilihat mudah untuk Umno menarik gol ini menyokong mereka.

Katanya lagi, Umno cuba menjadikan trend di negara seperti Austria yang membenarkan rakyat berusia 16 tahun mengundi dan New Zealand menetapkan umur 18 tahun layak menjadi perdana menteri.

“Trend ini saya kira cuba dijadikan contoh dan amalan kepimpinan baru umno untuk memastikan persediaan yang mencukupi sekiranya kelayakan mengundi di negara ini diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

“Ini merupakan strategi politik umno untuk mendapatkan sokongan pengundi muda atau menyiapkan golongan anak muda sebagai penyokong umno,” katanya. - Sinar Harian

celik, politik, belia

Artikel Berikut

Mayat reput dekat paya

Artikel Lain