JAKARTA: Seorang rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Nusa Tenggara Barat dan Lombok pagi Ahad. Menurut laporan media Indonesia, rakyat Malaysia yang terkorban itu hanya dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30 tahun. Jenazah mangsa kini dilaporkan ditempatkan di Klinik Sembalun, Lombok. Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan berkata pihak kedutaan sedang mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian itu. Identiti lengkap mangsa masih belum diperoleh setakat ini, katanya. Menurut Zamshari terdapat 150 pelajar Malaysia di Lombok dan mereka dilaporkan selamat. Menurut media Indonesia, setakat ini 10 mangsa dilaporkan terkorban dalam kejadian gempa itu, manakala puluhan rumah dan bangunan dilaporkan rosak. Gempa bumi kuat berukuran 6.4 Skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pukul 5.47 pagi Ahad menyebabkan penduduk kawasan itu dilaporkan bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan. Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km. Tiada amaran tsunami dikeluarkan. Menurut laporan BMKG, berlaku 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga pukul 7.39 pagi Ahad. Gegaran susulan gempa itu di bawah 5 Skala Richter. Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki juga ditutup kerana dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh. - BERNAMA