suria

RUU mansuh GST dibentangkan di Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah pertama dalam menunaikan janji untuk memansuhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan membentangkan lima rang undang-undang (RUU) untuk bacaan pertamanya.

RUU itu bukan sahaja untuk memansuhkan GST, tetapi juga untuk memperkenalkan semula RUU Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah membentangkan pemansuhan RUU GST 2018, RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 pada Selasa.

RUU Cukai Jualan yang dicadangkan adalah untuk caj, levi, dan mengumpulkan cukai jualan.

Di bawah cukai jualan dan perkhidmatan, sesiapa yang berniat untuk mengelak atau membantu seseorang berbuat begitu boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali dan tidak melebihi 20 kali jumlah cukai jualan atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sekiranya kesalahan itu dilakukan untuk kali kedua atau seterusnya, maka individu terbabit akan dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi 40 kali ganda jumlah cukai jualan, atau penjara tidak lebih dari tujuh tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu,RUU Kastam (Pindaan) berkaitan dengan pelaksanaan sistem percukaain baharu.

Pindaan utama di bawah RUU itu adalah berkaitan dengan keanggotaan Tribunal Rayuan Kastam dan prosidingnya.

RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 adalah pindaan kepada Akta Zon Bebas 1990 untuk membuka jalan bagi pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan.

GST

Artikel Lain