PETALING JAYA: Belum pun reda kontroversi seorang peraih getah yang berkahwin dengan budak perempuan 11 tahun sebagai isteri ketiganya, timbul lagi kisah baharu yang mendakwa pasangan ini pergi 'berbulan madu'. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki kahwin kanak-kanak 11 tahun turut dedah mereka bercinta sejak 4 tahun lalu ARTIKEL BERKAITAN: Suami budak 11 tahun didenda Menurut laporan New York Times pada Isnin, Che Abdul Karim Che Hamid dikatakan telah membawa isteri mudanya pergi bercuti di 'tanah tinggi'. Memetik isteri kedua Che Abdul Karim, Siti Nor Azila Zulkifle, 34, sebagai berkata, suaminya begitu kedekut dengannya dan isteri pertama, tetapi mampu berkahwin baharu, malah membawa isteri baharu itu bercuti. Siti Nor Azila atau lebih mesra dipanggil Effa ketika dihubungi mStar Online pada Selasa bagaimanapun berkata, percutian itu diketahuinya semasa mereka mula mendapat tahu suaminya telah berkahwin buat kali ketiga, Jun lalu. "Saya dapat tahu suami pergi bercuti dengan isteri ketiga pada hari raya kelima (5 Syawal), sehari selepas dia berkahwin dengan budak tu. Mereka pergi ke Tambun, Perak. "Saya terkejut sebab baru kahwin dengan budak muda, lepas tu boleh bawa pergi 'honeymoon' (bulan madu). Dengan kami ni dia sentiasa sibuk. "Saya tanya suami, betul ke dia ada pergi bercuti dengan budak tu. Mulanya, dia tak mengaku. Tapi bila saya beritahu ada dapat maklumat dia keluar bersama bini muda tu, baru dia beritahu ada keluar bersama dengan budak tu," katanya yang menetap di Gua Musang, Kelantan. Suami kepada Effa sudah bernikah dengan budak perempuan berusia 11 tahun pada 4 Syawal lalu. - Foto Facebook Bagaimanapun, Effa berkata, suaminya kini mula menunjukkan perubahan apabila memberi perhatian kepadanya dan isteri pertama, Nuraini Che Nawi serta keluarga, selepas kisah perkahwinan dengan budak perempuan itu mendapat liputan meluas dan meraih perhatian masyarakat, termasuk media antarabangsa. "Kalau dulu, lebih-lebih lagi masa dia baru kahwin dengan budak tu, seminggu sekali pun susah nak balik. Tapi sekarang ni dah makin kerap, dua atau tiga kali seminggu pulang ke rumah. "Tanggungjawab dia terhadap saya dan anak-anak pun bertambah baik, termasuk perbelanjaan sekeluarga," kata ibu kepada empat anak itu. Namun Effa berharap suaminya lebih banyak memberi tumpuan kepada mereka sekeluarga, terutama selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti menjalankan perniagaan dalam talian dan menjadi suri rumah sepenuh masa sejak bulan lalu. Dia yang hidup bermadu selama kira-kira 14 tahun itu mengimpikan percutian bersama keluarga termasuk keluarga isteri pertama yang mesra dengan panggilan Kak Ani. "Impian saya adalah bercuti di pantai. Saya sukakan suasana laut. Boleh juga buat barbeku, makan bersama suami dan anak-anak. "Kalau percutian bersama Kak Ani sekeluarga lebih menarik. Saya tak kisah kalau bercuti bersama-sama. Tapi Kak Ani sukakan percutian di hutan, katanya dapat hilangkan tekanan. Mungkin boleh jadi percutian yang ada hutan dekat dengan pantai," katanya. Siti Nor Azila Zulkifle. Sementara itu, Che Abdul Karim ketika dihubungi menjelaskan bahawa kunjungannya bersama isteri ketiganya ke Tambun, bulan lalu bukan percutian bulan madu seperti yang didakwa, sebaliknya sekadar membawa isteri mudanya itu bersiar-siar. Malah katanya, mereka tidak berdua-duaan, tetapi turut ditemani oleh rakan perempuan isteri mudanya dan menegaskan bahawa mereka tidak bermalam bersama. "Bukan 'honeymoon' pun, tapi jalan-jalan saja. Kami balik hari. Mana ada 'honeymoon', dia (isteri ketiga) sekarang tinggal di rumah ibu bapanya," katanya. Ditanya mengenai percutian bersama isteri pertama dan isteri kedua, Che Abdul Karim berkata, tiada perancangan mengenainya buat masa ini. "Tapi kalau dua-dua isteri saya benar-benar mahu saya bawa mereka pergi bercuti, akan saya pertimbangkan. Kiranya macam 'honeymoon' lagi dengan mereka. "Mengenai percutian bersama dua keluarga itu saya kena bincang dulu dengan mereka. Kalau ada persetujuan bersama dan masa yang sesuai, kenapa tidak? Asalkan mereka gembira," katanya yang merupakan bapa kepada enam cahaya mata hasil perkahwinannya bersama dua isterinya.