suria

Solat guna telekung jenama tiruan, ini jawab ustaz!

Isu telekung tiruan timbul apabila pengasas jenama dUCk meluahkan kekecewaanya di Instagram Story.

PETALING JAYA: Selepas isu penggunaan barangan tiruan berjenama mewah dalam kalangan selebriti dan Instafamous kecoh di media sosial, timbul pula isu telekung tiruan digunakan untuk solat.

Pengasas bersama gedung fesyen atas talian Fashion Valet, Vivy Sofinas Yusof atau Vivy meluahkan kekecewaannya di Instagram apabila ada pihak tidak bertanggungjawab didakwa menjual telekung tiruan jenama 'dUCk' dari Vietnam.

"Semua ini adalah dUCk tiruan. Kami tidak menjualnya dalam plastik seperti ini dan kami tidak menghasilkannya di Vietnam.

"Jadi, tiada (istilah) ia ditolak oleh kilang! Kita menggunakan tudung untuk agama, jadilah seorang Muslim yang baik dan jangan sokong produk tiruan," katanya melalui kapsyen yang dimuat naik di Instagram Story pada Selasa.

Vivy turut berkata, beliau tidak faham bagaimana seseorang boleh membeli telekung tiruan yang akan digunakan untuk menunaikan solat.

Posting itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya tersinggung dengan kenyataan tersebut, namun terdapat juga pengguna media sosial yang mempertahankan hak usahawan itu sebagai seorang pemilik jenama berkenaan.

Berdasarkan tinjauan di laman web Fashion Valet, harga sepasang telekung jenama tersebut adalah RM283.

Komen netizen di Twitter berhubung isu telekung tiruan jenama dUCk.

Pengguna Twitter Hanana Bamadhaj menulis: "Saya minta maaf sangat-sangat, tapi saya sangat terganggu dan meluat dengan kenyataan Vivy Yusof.

"Tolonglah! Ia sesuatu yang amat bodoh untuk diucapkan. Ia seolah-olah anda ingin mengatakan berdosa untuk solat apabila menggunakan telekung tiruan?," katanya.

Sementara itu, pemilik akaun @ikaez4n1 pula beranggapan bahawa orang ramai telah salah faham dengan niat sebenar yang ingin disampaikan oleh ibu kepada dua cahaya mata itu.

"Orang asyik berkata Vivy cakap, 'pakai telekung tiruan, solat tak sah', tapi saya tidak nampak pun dia berkata begitu dalam kenyataan beliau.

"Kata-katanya berbunyi lebih kepada, 'tidak rasa bersalahkah memakai produk tiruan yang dibeli daripada seorang pencuri dan memakainya untuk berjumpa dengan Tuhan'," ujar gadis itu.

Dalam pada itu, Vivy berkata, perbuatan membeli barangan tiruan adalah seperti bersetuju dengan aktiviti menyalahi undang-undang dan mungkin menyokong kilang-kilang tidak berlesen yang menggunakan buruh kanak-kanak. 

Jawapan Vivy bagi mempertahankan kenyataannya berhubung penggunaan telekung tiruan jenama dUCk.

Bagi mendapatkan kepastian, mStar Online meminta pandangan tentang isu ini daripada individu yang lebih arif.

Penceramah bebas, Muhamad Subki Shaari berkata, perbuatan memakai telekung tiruan tidak menjejaskan syarat-syarat sah solat seseorang itu.

"Syarat sah solat adalah menutup aurat iaitu menutupi semua tubuh badan kecuali dua tapak tangan dan muka bagi perempuan.

"Pakai telekung tiruan tidak menjadikan solat seseorang itu tidak sah, tetapi saya melihat isu ini lebih kepada pertembungan antara dua hak iaitu hak antara pemilik barangan tiruan dengan pemilik jenama tersebut," jelasnya ketika dihubungi pada Rabu.

Kata Muhamad Subki, pemilik jenama tersebut boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya terbukti ada pihak yang meniru produknya.

Tambahnya, pengguna juga harus melihat kepada kemampuan diri sendiri sebelum membuat pembelian.

"Orang boleh menilai kualiti antara barangan tiruan dan asli. Jadi ikutlah bajet sendiri," katanya.

dUCk, telekung tiruan, Vivy Yusof

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain