suria

Wanita rentung, lima cedera

Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa sisa-sisa kebakaran pada sebuah bengkel motorsikal di Sentul, malam Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai rakyat tempatan berusia lingkungan 40-an dijumpai rentung manakala lima lagi individu cedera dalam kebakaran sebuah kedai motosikal di Jalan Sentul di sini malam Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur Ruhisha Haris berkata dalam kejadian pada pukul 8.42 malam itu, mayat mangsa ditemukan bersebelahan kaunter kedai di tingkat bawah bangunan empat tingkat berkenaan.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan pihaknya segera mengerahkan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa dan Hang Tuah ke lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, mangsa (wanita yang maut) berada di dalam kedai bersama tiga mangsa lelaki iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Pakistan yang cedera, manakala seorang wanita warga Indonesia dan lelaki warga Pakistan yang berada di bilik asrama pekerja di tingkat atas turut cedera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian lewat tengah malam Selasa.

Ruhisha berkata kedai motosikal itu terbakar sepenuhnya manakala tingkat dua yang menempatkan sebuah klinik persendirian dan bilik hostel pekerja di tingkat tiga serta empat musnah terbakar 30 peratus.

Punca kejadian masih disiasat.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dan mangsa yang cedera masing-masing dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan menerima rawatan.

Pada Selasa, media melaporkan seorang dikhuatiri maut manakala tiga lagi dipercayai cedera dalam kebakaran itu. - BERNAMA

rentung, kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Lain