suria

Air Selangor ambil alih Splash

PETALING JAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersetuju mengambil alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dengan harga RM2.55 bilion.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata angka tersebut merupakan potongan sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih Splash pada 30 Jun lalu.

Katanya, nilai tawaran untuk mengambil alih syarikat konsesi itu dicapai berikutan rundingan selama hampir setahun yang berlangsung antara pihak Air Selangor dan Splash Holdings.

"Pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan daripada dana Kerajaan Negeri Selangor dan telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

"Ini membolehkan Air Selangor beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah, sekali gus memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat," katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman dan Pengerusi Splash Holdings Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Katanya pengambilalihan ini juga akan menyelesaikan hutang tertunggak yang ditanggung oleh anak syarikat Air Selangor, iaitu Syabas, kepada Splash untuk pembelian air terawat yang telah mencecah sebanyak RM4.7 bilion setakat 30 Jun 2018.

Beliau berkata Air Selangor akan membayar secara ansuran untuk tempoh selama sembilan tahun bagi mengambil alih syarikat Splash.

Katanya, menjelang 2019, Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal yang memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut kenyataan daripada pejabat Menteri Besar Selangor, nilai pengambilalihan ini adalah adil dan munasabah berasaskan kepada prinsip ‘sedia membeli, sedia menjual' dan telah menerima pengesahan oleh penilai-penilai bebas yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

Ia menyebut Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 bilion dan baki pertimbangan sebanyak RM650 juta akan dibayar melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama sembilan tahun.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mendakwa kerajaan negeri akan membeli Splash pada harga RM2.7 bilion namun ia dinafikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam majlis itu, Amirudin turut menyaksikan upacara pemberian surat tawaran itu yang disampaikan Suhaimi kepada Wan Azmi.

Air Selangor, Splash

Artikel Sebelum

27 hari menginsafkan Jamal

Artikel Berikut

Artikel Lain