AMPANG: Selepas 27 hari dalam tahanan, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos menzahirkan rasa insaf dan berterima kasih atas hukuman yang diterima serta menyifatkan ia pengalaman paling berharga seumur hidup. Menurutnya, situasi dalam tahanan membuatkan beliau lebih positif dan kental berdepan kehidupan yang serba kekurangan. "Apabila dibukakan saja pintu sel itu saya rasa macam masuk dalam kubur. Penjara itu ukurannya sedepa dan panjangnya dua depa setengah..disitulah bilik air, mandi dan tempat tidur. "27 Hari saya duduk tidak Ada kebebasan. Alhamdulillah,bagi saya, kalau saya masuk dalam kubur tanpa persekitaran. Di situ saya diberi kesempatan,kesedaran dan keinsafan yang sangat luar biasa yang saya bertekad untuk perbaiki lagi ilmu, solat, al-Quran saya. "Bagi saya, Alhamdulillah saya dipenjarakan 27 Hari, saya dapat keinsafan, pelajaran dan manfaat yang sangat berguna," katanya ditemui pada Majlis Doa Selamat dikediamannya di sini, Khamis. Tambah beliau, situasi itu juga membuatkannya membayangkan kekentalan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima hukuman penjara selama berbelas tahun. "Saya simpati pada rakan lain.. bagaimana keadaan mereka terpenjara. Saya juga kagum memikirkan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh sekuat itu selama berbelas tahun dipenjara. Beliau cukup kuat untuk reda," katanya. Dalam pada itu, Jamal memohon agar dipertimbangkan membenarkan tahanan menghisap rokok kerana larangan yang dibuat langsung tidak memberi kesan kepada tahanan. "Biasanya apabila mereka dapat keluar pergi mahkamah dan sebagainya mereka akan telan tembakau atau masukkan ke dalam dubur. Jadi inilah yang mereka hisap, rokok daripada tahi. "Ada juga yang 'kantoi', mereka menerima hukuman. Jadi kasihan kerana sukar untuk berhenti merokok. Jadi mengapa tidak diberikan kebenaran untuk tempoh tertentu seperti waktu lawatan keluarga dan sebagainya," katanya. Beliau juga mahu kerajaan lebih prihatin dengan kebajikan warden-warden penjara. "Saya mohon kepada kerajaan supaya pertimbangkan kenaikan gaji kepada pegawai warden beri kemudahan seperti diterima polis dan pegawai kerajaan," katanya. - Sinar Harian