PETALING JAYA: Sejumlah RM1.6 bilion akan diagihkan kepada kira-kira 4.1 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) menjelang sambutan Aidiladha. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan perkara itu berkata, pembayaran peringkat ketiga itu akan dibuat pada 15 Ogos ini. "Kerajaan berharap pemberian BSH ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos ini. "Pembayaran akan dimasukkan ke akaun penerima, manakala bagi yang tidak mempunyai nombor akaun bank, surah pengesahan akan dipos ke alaman penerima dan mereka boleh menunaikannya di cawangan Bank Simpanan Nasional," kata Guan Eng dalam kenyataan pada Jumaat. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah ditukar kepada BSH sebaik kerajaan PH mentadbir negara ini. Kata Guan Eng, walaupun tanpa hasil cukai GST dan negara menanggung hutan RM1 trilion, namun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) masih mampu untuk membantu rakyat dengan memberi BSH. "Walaupun GST sudah dimansuhkan, kerajaan persekutuan masih tidak mengalami kebankrapan seperti yang didakwa oleh kerajaan terdahulu, sebaliknya masih mampu terus memberi BSH walaupun tanpa hasil cukai GST. "Perlu ditegaskan bahawa pembayaran RM1.6 bilion (BSH) dibuat dalam keadaan kekangan kewangan kerana hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal kewangan 1MDB dan salah urus tadbir," katanya.