suria

Gadis Malaysia rangkul tempat kelima Ratu Cantik NZ

Nurul Zuriantie Shamsul mendapat tempat kelima dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand 2018.

PETALING JAYA: Gadis kelahiran Malaysia, Nurul Zuriantie Shamsul mendapat tempat kelima dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand 2018.

Perkara itu diumumkan dalam halaman Facebook Miss Universe New Zealand, Sabtu malam waktu Malaysia.

Bercakap kepada mStar Online, Nurul, 20, berkata, beliau gembira apabila diumumkan sebagai salah seorang Top 5.

“Alhamdullilah. Saya teramat gembira. Ia merupakan satu pengalaman luar biasa yang membantu menjadikan saya sebagai individu berketerampilan,” kata anak kelahiran Ampang, Selangor ini menerusi aplikasi WhatsApp, Sabtu malam.

Nurul yang berpindah ke New Zealand ketika berusia lima tahun ini kelihatan anggun berhijab warna emas dan menyarungkan busana berperincian rona yang sama.

Nurul merupakan gadis Melayu berdarah campuran Indonesia berkata, antara saat terindah pada pertandingan itu adalah melihat kedua-dua ibu bapanya yang penuh rasa bangga melihat dirinya diumumkan sebagai lima finalis teratas.

Nurul (dua, kanan) bersama empat peserta akhir.

Pelajar tahun akhir jurusan Psikologi di University of Waikato, Hamilton, New Zealand itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokongnya menyertai pertandingan ratu cantik itu.

“Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong saya. Ia tidak berlaku tanpa kasih sayang dan sokongan anda.

“Syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang yang begitu bermakna ini dan mempermudahkan perjalanan saya sampai ke tahap ini. 

“Alhamdulillah, saya tenang, tidak gugup sedikit pun dan berpuas hati sepanjang acara berlangsung,” katanya. 

Nurul berkongsi kegembiraan itu bersama ibu bapanya.

Keluarga Nurul hadir memberi sokongan pada acara kemuncak yang berlangsung pada kira-kira pukul 4 petang Sabtu (8 malam waktu New Zealand), iaitu bapanya, Shamsul Ahmad, dan ibu, Ohan Anie Ediy serta dua adik lelakinya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu sebelum ini disenarai pendek sebagai salah seorang 20 finalis bagi pertandingan berprestij itu, dan menjadi satu-satunya peserta Asia, beragama Islam dan bertudung.

Keluarga Nurul hadir memberi sokongan.

Nurul juga mencatat sejarah sebagai peserta bertudung pertama berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik itu di New Zealand.

Sementara itu, peserta berusia 27 tahun, Estelle Curd dimahkotakan sebagai pemenang Miss Universe New Zealand 2018, sekali gus mewakili negara itu bagi pertandingan Miss Universe ke-67 yang bakal berlangsung di Bangkok, akhir tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain