suria

Kapal mewah Jho Low tiba di Pelabuhan Klang esok

PETALING JAYA: Kapal layar mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) yang dikatakan milik ahli perniagaan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa.

Sumber memberitahu, kapal tersebut yang menerima kebenaran pelepasan pelabuhan daripada Jabatan Marin Batam pada pukul 2.30 petang Isnin, menunjukkan isyarat pelabuhan seterusnya adalah Pelabuhan Klang.

Sumber berkata, sekurang-kurangnya empat anggota polis Malaysia akan mengiring kapal itu bersama anak kapal ke Malaysia.

"Kapal itu akan meninggalkan Batam hari ini selepas ia diserahkan kepada pegawai kanan polis marin Malaysia yang sudah berada di Batam bagi menerima kapal berkenaan.

Kapar layar mewah itu tiba di pulau Batam di Indonesia, pagi Isnin.

Ia sepatutnya menghala ke pelabuhan Batu Ampar tetapi dilencongkan dan berlabuh dekat rumah api Pulau Nong, menghala ke Teluk Tering pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kapal tersebut berlayar dari pelabuhan Tanjung Benoa di Bali pada Khamis lalu.

Pada Februari lalu, kapal itu disita atas arahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang dilancarkan Jabatan Kehakiman (DoJ) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun kapal itu tidak dibenarkan meninggalkan pelabuhan Tanjung Benoa.

Pada Julai, pihak berkuasa Indonesia menyita semula kapal layar itu susulan permintaan rasmi untuk bantuan undang-undang daripada pihak berkuasa AS.

Reuters melaporkan keputusan menyerahkan kapal layar itu ke Malaysia dicapai berikutan permintaan peribadi yang dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa lawatan ke Indonesia, Jun lalu.

Jho Low, 1MDB, Equanimity

Artikel Lain