suria

Terima kasih Indonesia - Tun M

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada Indonesia, terutama presidennya, Joko Widodo, kerana bekerjasama dengan Malaysia bagi memulangkan kapal layar mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion).

Perdana Menteri berkata, kerjasama itu merupakan keputusan yang menunjukkan hubungan erat kedua-dua negara.

"Saya percaya kapal ini adalah milik Kerajaan Malaysia, kerana ia dibeli dengan duit Malaysia yang dicuri oleh pihak tertentu.

"Kalau ada mana-mana pihak yang ingin dakwa bahawa kapal ini mereka punya, mereka boleh tunjuk bukti yang kapal ini dimiliki oleh mereka.

"Kita ingin tahu dari mana mereka dapat wang yang begitu banyak untuk membeli kapal yang begitu mahal.

"Kalau mereka tidak dapat bukti bahawa duit ini datang daripada mereka sendiri dan bukan duit yang dicuri, maka mereka berhak mendapat balik kapal ini," kata Dr Mahathir menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS menunjukkan bahawa kapal layar itu dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kapal layar berkenaan, yang kononnya milik ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa.

Sumber memberitahu, kapal itu menerima pelepasan pelabuhannya dari Jabatan Laut Batam pada pukul 2.30 petang Isnin dan kembali belayar pada pukul 4.45 petang.

Sumber berkata, sekurang-kurangnya empat anggota polis Malaysia akan mengiring kapal tersebut dan anak kapalnya ke Malaysia.

1MDB, Dr Mahathir Mohamad, Equanimity

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain