JIKA sebelum ini jeragat atau freckles menjadi musuh kebanyakan wanita Barat kerana dianggap sebagai kecacatan pada wajah, namun kini ia menjadi idaman setiap gadis untuk tampil lebih menawan! Fake freckles atau jeragat palsu misalnya mula menjadi trend masa kini apabila lebih ramai Instafamous termasuk golongan selebriti tanah air memilih 'masalah kulit' itu sebagai penampilan terbaharu mereka. Malah, jeragat pada muka turut menjadi inspirasi gaya mekap yang paling menarik untuk diketengahkan. Menurut jurusolek terkenal, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih popular dengan nama Alha Alfa, tidak salah untuk mencuba gaya solekan baharu yang memiliki unsur dari negara barat, namun perlu menitikberatkan kesesuaian wajah individu yang ingin mengenakan solekan tersebut. Jurusolek terkenal, Alha Alfa "Masyarakat kita mungkin sudah bosan dengan mekap tebal dan inginkan kelainan dalam solekan mereka. "Jadi mereka mencari sesuatu yang baharu, lebih kepada natural look. "Namun bukan semua wanita sesuai menggayakan jenis solekan seperti ini. "Yang memiliki bentuk wajah campuran lebih sesuai berbanding mereka yang memiliki wajah kemelayuan," katanya ketika dihubungi mStar Online. Kata Alha, solekan jenis itu juga memerlukan teknik yang betul untuk dihasilkan kerana ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketelitian. "Memang seronok buat solekan jenis ini kerana lebih puas tengok hasil kerja kita yang pelbagai, namun untuk mencuba sesuatu yang baharu memerlukan ilmu untuk menghasilkannya. "Jika tersilap placing jeragat palsu itu akan kelihatan seperti tahi lalat," katanya. Alha menghiasi wajah Uqasha Senrose dengan fake freckles... Sementara itu, pemerhatian mStar Online di beberapa laman sosial mendapati ramai netizen mempersoalkan tindakan individu yang cuba menggayakan teknik solekan seperti itu. 'Try hard' untuk kelihatan seperti minah salleh Seperti rupa sakit kusta Kenapa nak ad freckles? Menurut Alha, ada yang menghasilkannya hanya menggunakan pensil alis, eyeliner, termasuk henna (inai) coklat untuk tampak lebih natural. Namun bagi jejaka berusia 30 tahun ini, dia tidak memilih menggunakan inai sebagai bahan asas untuk menghasilkan fake freckles kerana menurutnya ia sesuatu yang bersifat kekal dan sukar hilang. "Pelbagai teknik boleh digunakan untuk menghasilkan jeragat palsu, namun Alha memilih untuk tidak menggunakan inai kerana jika tersilap, ia akan kekal," ujarnya.