suria

"Abah ada 3 bulan untuk hidup, 2 hari baki untuk kami berbakti sebelum dijemput Ilahi"

Foto Facebook Atiqah Syairah.

PETALING JAYA: Hampir seminggu pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, anak keduanya, Atiqah Syairah merasakan pihak keluarganya 'berhutang' penjelasan mengenai sakit bapanya kepada orang ramai.

Susulan itu, Atiqah dalam satu posting di Facebook berkongsi kisah perjuangan bapanya yang meninggal dunia akibat kanser usus bagi memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang sedang melawan penyakit tersebut.

Dalam posting itu juga, gadis berusia 29 tahun itu turut memuatnaik video yang menghimpunkan koleksi gambar bapanya.

Atiqah mendedahkan mereka sekeluarga sebenarnya dimaklumkan oleh doktor bahawa Shaharuddin hanya mempunyai masa selama tiga bulan untuk hidup sejak mendapat tahu tentang penyakit itu pada 2015.

"Ini bukan kisah melawan takdir, mahupun menyalahkan perubatan moden. Abah dan mama menggunakan setiap alternatif yang ada untuk pastikan perjuangan meneruskan kehidupan adalah sesuatu yang jauh lebih utama daripada menunggu saat kematian.

"Untuk mati di jalan Allah, adalah penting untuk memastikan kita berjuang hidup di jalan Allah dahulu. Allahummaghfirlahu wa'afihi wa'fu'anhu abah. Semoga kita berkumpul di syurga nanti," kata Atiqah.

Dalam posting itu, Atiqah turut menceritakan mengenai kronologi penyakit yang ditanggung bapanya sejak 2015.

"7 Disember 2015, ketika menyampaikan ucapan di pentas UNISEL, sakit perut melampau dan dibawa terus ke DEMC.

"Setelah CT Scan, abah didiagnos menghidap kanser usus tahap 4. Dijadualkan buang usus yang terjejas dalam masa terdekat," katanya.

Sepanjang dua tahun lalu, Atiqah berkata bapanya menjalani tiga pusingan rawatan yang melibatkan 15 kali kemoterapi untuk mengecilkan sel kanser di bahagian hati.

"Fasa ini merupakan fasa yang paling mencabar kerana melibatkan pertarungan fizikal dan mental.

Shaharuddin ditemani isterinya semasa angkat sumpah Exco Selangor pada 14 Mei lalu. - foto Facebook Shaharuddin Badaruddin

"Tetapi, abah masih sempat turun ke program universiti, jemaah dan mesyuarat-mesyuarat parti," katanya.

Menurut Atiqah, pada tahun lalu, ibunya Adibah Ahmad, 57, mendapat cadangan untuk bapanya menjalani perubatan Selective Internal Radiation Therapy (SIRT).

"Percubaan dua kali di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan akhirnya berjaya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana salur darah bercabang dan memerlukan bantuan pakar," katanya.

Tambah Atiqah lagi, pada tahun ini bapanya dijadualkan untuk menjalani imbasan CT untuk kiraan sel kanser serta kadar sukses SIRT.

"Dimaklumkan bahagian yang disasarkan kena, tetapi masih terdapat baki di bahagian usus. Jadi, dijadualkan untuk buang usus yang terjejas buat kali kedua.

"Kali ini menyebabkan abah terpaksa pakai Stoma beg kerana usus makin pendek," katanya.

Setelah pembubaran Parlimen, Atiqah berkata bapanya bertanya pendapat doktor sama ada beliau sesuai atau tidak untuk bertanding selepas mengambil kira tahap kesihatannya.

"Doktor mengesahkan tidak ada komplikasi pasca pembedahan tetapi perlu kawal aktiviti. Pendek cerita, kempen dengan bantuan sahabat-sahabat dan jentera kawasan, menang dan diangkat sebagai Exco.

"Keputusan sukar juga tatkala nama abah naik sebagai calon menteri besar. Alhamdulillah, arwah juga antara yang mendokong kepimpinan muda dan mahu fokus angkat pendidikan di Selangor," katanya.

Namun pada bulan lalu, Atiqah berkata selera bapanya semakin menurun.

"Jadual padat untuk Ramadan dan Syawal dilihat menghirup tenaga, tetapi jelas arwah seronok berkhidmat. Namun, agak sukar bila kaki mula membengkak. Jadi perlukan masa rehat secukupnya, doktor berikan surat cuti selama sebulan.

Shaharuddin semasa menyerahkan borang pencalonan bertanding di DUN Seri Setia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Ketika khabar angin beliau kritikal keluar, memang abah ada di rumah. Tetapi tidak sihat, cuma tidak diwadkan.

"Kami sekeluarga perlu tampil dengan kenyataan kerana saudara mara telefon dari jauh dan khabar angin sudah pun disiarkan di televisyen. Kami bimbang jika sedang menonton, arwah ternampak berita beliau kritikal," katanya.

Jelas Atiqah, bapanya dibawa ke hospital selepas diserang sawan ketika sedang dimandikan oleh adik-adiknya pada 31 Julai lalu.

"Di sinilah pertarungan terakhir abah melawan kanser. Kerana dikhabarkan kanser sudahpun menyerang otak arwah.

"Allah kirimkan kami sekeluarga baki dua hari untuk berbakti sebelum abah dijemput oleh Ilahi," katanya.

Shaharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Pembangunan Modal Insan Selangor meninggal dunia pada pukul 6.28 petang, 2 Ogos lalu di Hospital Putrajaya.

Selain Atiqah, Shaharuddin mempunyai lima lagi anak iaitu Mohd Syazwanuddin, 30, Atiah Nadzrah, 28, Muhammad Saifuddin, 25, Muhammad Salahuddin, 23, dan Ainun Syafiqah, 18.

Allahyarham turut dikurniakan seorang cucu lelaki berusia dua tahun.

Artikel Lain