suria

Lelaki ugut guna senjata api ditahan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki kerana didakwa melakukan ugutan jenayah menggunakan senjata api ketika berada dalam keadaan mabuk di sebuah pusat beli belah di Bandar Utama, Petaling Jaya petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pihak polis menerima panggilan tentang lelaki berusia 61 itu dan beralamat di Taman Lagenda, Ipoh, Perak yang dikatakan mengeluarkan sepucuk pistol pada pukul 7.10 malam.

“Pasukan kereta peronda (MPV) polis dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba di tempat kejadian dan menahan lelaki itu yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

“Polis turut merampas sepucuk pistol, magazin dan peluru,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek minum minuman keras bersama seorang rakan di sebuah restoran di tingkat satu pusat beli-belah berkenaan kira-kira sejam sebelum kejadian dan berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek terjatuh sendiri lalu kepalanya terhentak pada bucu meja makan.

Ia menyebabkan pemilik restoran memanggil ambulans namun setelah diberikan rawatan oleh pasukan perubatan, suspek bertindak mengeluarkan pistol dan mencari rakannya tadi.

“Tindakannya mencetuskan panik dalam kalangan orang awam dan panggilan kecemasan dibuat ke pusat kawalan daerah Petaling Jaya.

“Suspek kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan dan ditahan di sana. Perintah tahanan reman akan diuruskan,” katanya.

Mohd Zani berkata kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan senjata api.

Mengulas dakwaan yang tular di laman sosial bahawa berlakunya kes melepaskan tembakan dalam insiden itu, Mohd Zani ia adalah palsu berikutan tiada tembakan dilepaskan berdasarkan siasatan awal dan hasil pemeriksaan rakaman CCTV. - BERNAMA

senjata, mabuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain