suria

"Mula-mula saya sangka Tok Ma 'awek' suami..."

Ramai yang menyangka Azyani, 26 sebaya dengan ibu mertuanya, Jaslina, 45.

PETALING JAYA: Disangka rakan sebaya, itulah situasi yang dihadapi seorang wanita setiap kali keluar bersama ibu mertuanya.

Manakan tidak, biarpun sudah mencecah usia 45 tahun dan mempunyai dua cucu, wajah Jaslina Ab Sani nampak muda, persis menantu sulungnya yang berusia 26 tahun.

Kisah mereka mula tular di Twitter awal minggu ini setelah Noor Azyani Zamri memuat naik beberapa keping foto bersama ibu mertuanya itu.

"Pada mulanya saya muat naik gambar mengenai perkenalan saya dengan ibu mertua yang sudah mencecah enam tahun.

"Ramai yang tak percaya mengenai ikatan kami, sebab itu saya muat naik sekali lagi foto-foto kami beserta tips awek muda yang diamalkan ibu mertua, tak sangka akan tular," kata Azyani ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Selain komen-komen di Twitter, usahawan produk kecantikan dan kesihatan itu juga sudah terbiasa berdepan dengan situasi sama setiap kali keluar bersama ibu mertuanya.

Azyani mengakui bersyukur dikurniakan ibu mertuanya yang sentiasa ceria dan bersikap positif.

Jelas Azyani, dia tidak pernah cemburu dengan kejelitaan wanita itu sebaliknya bersyukur dikurniakan ibu mertua yang tidak lokek berkongsi petua kecantikan.

"Apabila keluar dan saya bahasakan dia sebagai Tok Ma kepada dua anak saya, ramai yang pelik dan seolah-olah tak percaya.

"Tapi tak pernah walau sekali pun terdetik rasa iri hati, saya gembira sebab dia suka kongsi petua dan sentiasa bersikap positif.

"Kami juga banyak persamaan, suka bercuti, suka mekap, suka bercakap, suka membeli-belah dan suka merajuk," ujarnya dalam nada berseloroh.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan dengan ibu mertuanya, Azyani menjelaskan dia pertama kali melihat foto wanita itu di laman Facebook milik suaminya sekitar tahun 2012.

Jaslina, 45, yang juga guru matematik di Baling, Kedah, bersama dua cucunya.

"Pada mulanya saya sangka dia adalah teman wanita suami saya. Nampak gambar macam rapat je. Saya tak percaya apabila suami beritahu itu adalah ibunya.

"Kami mula berkenalan sehinggalah saya berkahwin dengan suami pada 2015 dan Alhamdulillah kini mempunyai dua cahaya mata," jelasnya lagi.

Menerusi Tweet yang menerima lebih 10,000 ulang kicau (Retweet) itu, Azyani turut membuat perkongsian mengenai petua kecantikan yang diamalkan wanita itu.

Ibu mertuanya yang bekerja sebagai guru matematik di Baling, Kedah mengamalkan gaya hidup sihat seperti berbasikal, mengelakkan minuman manis, makan buah-buahan dan sentiasa membaca doa serta selawat Syifa'.

"Selain itu, dia juga suka gosok muka dengan kulit pisang emas dan minum air jus daun pegaga, dia memang sihat, sentiasa positif dan tiada sebarang penyakit sehingga hari ini. Nak demam pun susah," ujar Azyani.

Paparan skrin Tweet Azyani yang tular di laman Twitter.

Rata-rata netizen yang membanjiri Tweet itu turut meluahkan rasa kagum mereka terhadap kecantikan ibu mertua Azyani.

"Mana satu mertua mana satu menantu, sama je tengok," tulis @syazwankif.

"Muda sangat ibu mertua dia, boleh ikut tips dia. Dah nampak sebaya je," tulis @cikAs8 pula.

Mertua, Menantu, Awet Muda

Artikel Lain