suria

Peniaga minta pelanggan minum peluntur, nak buktikan kopinya mujarab!

Paparan skrin daripada video yang mendakwa pelanggan minum kopi tersebut selepas mencampurkannya dengan cecair peluntur.

PETALING JAYA: Selain digunakan sebagai bahan pencuci, cecair peluntur mampu memberikan kesan memudaratkan kepada seseorang sekiranya ia diminum.

Malah, cecair peluntur juga sering menjadi 'jalan singkat' bagi mereka yang mengalami tekanan perasaan untuk mengakhiri kehidupan.

Namun, agak mengejutkan apabila terdapat peniaga dalam talian berani mempertaruhkan nyawa pelanggannya demi membuktikan kopi yang dijual oleh mereka itu mujarab.

"...yang dah jadi ejen G******, nanti saya ajar anda untuk buat demo kepada pelanggan minum peluntur depan mereka.

"Saya sudah bergelas-gelas minum c***** (jenama peluntur) dekat sini. Tujuannya hanya untuk tunjuk G****** ini sangat membunuh racun dalam badan sampai minum c***** pun tidak jadi apa," kata peniaga tersebut dalam satu posting di Facebook.

Pengendali laman Facebook kopi tersebut turut memuat naik beberapa video yang menampilkan pelanggan berbeza minum kopi yang dicampur cecair peluntur.

Posting yang dimuat naik oleh seorang peniaga kopi tersebut.

Minuman yang dijual pada harga RM95 sekotak itu didakwa sejenis kopi anti racun dan anti kanser, selain mampu menurunkan kadar gula dalam darah serta merawat batu karang.

Sementara itu, pegawai perubatan kanan Angkatan Tentera Malaysia, Dr Rusyainie Ramli ketika dihubungi mStar Online pada Khamis berkata, kesan cecair peluntur jika dimasukkan ke dalam badan boleh membakar sel esofagus atau salur tekak manusia.

"Cecair peluntur mengandungi lima peratus sodium hipoklorit yang bertindak sebagai agen peluntur untuk membersihkan kotoran pada pakaian atau lantai.

"Bagaimana kopi boleh bertindak balas dengan cecair peluntur dan jadi neutral pula? Kalau ia mampu mencairkan kepekatan cecair peluntur itu, berapa pula peratusan ia telah dicairkan?," katanya.

Jelas Dr Rusyainie, perbuatan mendakwa minuman tersebut merupakan kopi anti racun dan anti kanser telah melanggar Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Semakan 1983).

Tambah beliau, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas pelanggan yang minum kopi bercampur cecair peluntur itu.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan Majlis Profesor Negara, Prof Tan Sri Dr Mohd Amin Jalaludin berkata, kesan sampingan daripada perbuatan minum cecair peluntur boleh membawa maut.

"Pada label cecair peluntur itu sendiri sudah ditulis agar ia disimpan dengan baik dan dijauhkan daripada kanak-kanak kerana ia bersifat menghakis.

"Kita gunakan cecair peluntur untuk cuci baju kotor atau bersihkan lantai yang berdaki, tapi bagaimana pula ada pihak yang sanggup menyuruh orang lain minum hanya untuk buktikan barangan yang dijual itu berkesan?," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah beliau, pihak Kementerian Kesihatan harus memberikan perhatian terhadap kes tersebut kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat kepada orang awam.

cecair peluntur

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain