suria

“Saya tahu ramai yang komen saya ni ‘biasa-biasa’ je...”

Nurul mendapat tempat kelima dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand, Sabtu lalu. Foto instagram nurulzbshamsul

PETALING JAYA: Mendapat tempat kelima dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand merupakan hadiah bermakna buat anak kelahiran Malaysia ini, yang menyambut ulang tahun ke-21 pada Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Malaysia rangkul tempat kelima Ratu Cantik NZ

Beliau sebelum ini disenarai pendek sebagai salah seorang 20 finalis bagi pertandingan berprestij itu, dan menjadi satu-satunya peserta dari Asia, beragama Islam dan bertudung.

Dalam acara yang berlangsung pada Sabtu malam waktu New Zealand (petang waktu Malaysia), Nurul Zuriantie Shamsul turut mencatat sejarah apabila menjadi peserta bertudung pertama yang mara ke pentas akhir bagi pertandingan itu.


“Ia merupakan hadiah yang begitu istimewa tetapi saya fikir semua sokongan dan kasih sayang yang saya terima daripada semua juga bermakna.

“Saya benar-benar terkejut mendapat kedudukan sampai ke tahap itu kerana semua peserta mempunyai pengalaman dalam peragaan dan pertandingan ratu cantik sebelum ini, sedangkan saya tiada pengalaman,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Nurul turut berkongsi mendapat hadiah hari jadi berupa barangan kemas pemberian ibu bapanya.

Sebagai satu-satunya peserta berhijab dan disenaraikan di kedudukan lima teratas, gadis Melayu berdarah campuran Indonesia ini menyifatkan ramai yang berfikir pencapaiannya adalah sesuatu yang besar memandangkan dirinya adalah orang Asia dan memakai tudung menyertai pertandingan ratu cantik di negara Barat.

Namun anak kelahiran Ampang, Selangor berharap pengiktirafan tersebut dapat memecah pemikiran stereotaip dalam dunia kecantikan.

“Saya tahu ramai memberi komen yang saya ni ‘biasa-biasa’ je, tapi saya berharap gadis-gadis tidak perlu terikut dengan standard cantik setiap hari.

“Saya mahu mereka menyayangi diri sendiri dan menerima seadanya kerana mereka sememangnya mempunyai kecantikan tersendiri,” tambahya.

Nurul yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, pada masa ini beliau mahu menumpukan pengajiannya di tahun akhir jurusan psikologi di University of Waikato, Hamilton, New Zealand.

Nurul berkongsi kegembiraan itu bersama ibu bapanya.

Menggambarkan dirinya sebagai seorang yang optimistik, Nurul yang berpindah ke New Zealand sejak usianya lima tahun akan mengintai peluang dan pilihan yang terbaik untuk direncanakan pada masa akan datang.

“Saya mengimpikan untuk menjadi penceramah motivasi dan individu berpengaruh atau juga menjadi seorang model.

“Saya memberi tumpuan kepada gerakan saya yang dinamakan sebagai ‘Beyond Beauty’ yang mana saya akan membantu memperkasakan dan memberi inspirasi kepada gadis-gadis,” katanya sambil menambah dia dijangka akan berada di Malaysia dan Indonesia dari 28 Ogos sehingga 3 September ini, dalam rangka lawatannya bertemu pihak media. 

Nurul mendapat sokongan daripada keluarganya.

Dalam pertandingan ratu cantik itu yang berlangsung di Sky City Theatre, Auckland, Nurul kelihatan anggun berhijab warna emas dan menyarungkan busana berperincian rona yang sama.

Sementara itu, peserta berusia 27 tahun, Estelle Curd dimahkotakan sebagai pemenang Miss Universe New Zealand 2018, sekali gus mewakili negara itu bagi pertandingan Miss Universe ke-67 yang bakal berlangsung di Bangkok, akhir tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain