suria

Kes dera: Dua guru tadika ditahan

MELAKA: Dua guru tadika ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes video mengenai perbuatan mendera dan memukul kanak-kanak di sebuat pusat asuhan kanak-kanak di Cheng dekat sini, yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Afzanizar Ahmad berkata kedua-dua wanita berusia 21 dan 40 tahun itu ditahan pada Sabtu lalu setelah satu laporan polis dibuat oleh pengurus pusat asuhan kanak-kanak tersebut pada hari yang sama.

“Kejadian yang dipercayai melibatkan empat orang pelajar itu berlaku pada 30 Julai lalu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, Isnin.

Video pertama yang tular di laman sosial berdurasi  2 minit 10 saat menunjukkan tindakan seorang guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat itu dan meletakkannya di atas tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang terbaring.

Manakala video kedua yang berdurasi 36 saat menunjukan  tindakan salah seorang guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh dari kerusi.

-- Bernama
tadika, Cheng, dera

Artikel Lain