KUALA LUMPUR: Komuniti transgender digesa agar menggunakan tandas yang dikhaskan untuk golongan kelainan upaya (OKU) buat sementara waktu sebelum mereka diterima sepenuhnya oleh masyarakat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh. Beliau berkata, langkah sementara itu adalah penyelesaian terbaik selepas mengambil kira perasaan segelintir wanita yang berasa tidak selamat apabila golongan transgender menggunakan tandas wanita. "Jadi saya menganggap ia penyelesaian terbaik sehingga orang awam menerima mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau tidak memberikan kebenaran kepada transgender untuk menggunakan tandas wanita. Sebaliknya, beliau sebelum ini menjawab soalan wartawan berhubung isu itu secara berjenaka. Dr Mujahid dikritik hebat selepas mengeluarkan kenyataan itu kerana mengabaikan keselamatan golongan wanita. Fuziah berkata, golongan transgender juga berasa tidak selamat menggunakan tandas lelaki. "Mereka takut mereka akan diganggu jika masuk ke tandas lelaki. "Tapi, jika mereka guna tandas wanita, wanita pula rasa tidak selamat. "Kita perlu memahami mereka," kata Fuziah.