suria

Kari ibu bawa tuah, anak Terengganu dinobat juara

Siti selaku juara, bersama pengarah pemasaran Uniliver Food Solutions, Angeline Ho sewaktu pertandingan itu baru-baru ini.

PETALING JAYA: Berkat resepi ibu yang sering menjadi hidangan keluarga sejak berpuluh tahun telah membawa tuah kepada seorang wanita apabila menjuarai  pertandingan memasak yang disertainya baru-baru ini.

Hidangan Kari Ayam Warisan Bonda yang disediakannya berjaya melayakkan Siti Nor Yuwana Zulkifli, 35, membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 serta pakej umrah untuk dua orang yang bernilai RM25,000.

Bercerita kepada mStar Online, Siti Nor Yuwana ternyata tidak menyangka penyertaannya dalam pertandingan Cabaran Raja Kuah Knorr 2018 itu bakal membawa kejayaan buat dirinya.

“Sebenarnya suami yang mendaftarkan saya menyertai pertandingan ini. Saya memang tidak sangka akan menang sebab peserta lain semua berpengalaman, ada yang memiliki restoran, saya pula buat katering sahaja.

“Saya memang suka memasak dari usia muda lagi. Adik beradik saya ramai, kalau emak tak sempat masak, saya yang ambil tugas itu.

“Siapa tak gembira, resepi ibu yang selalu menjadi hidangan kami sekeluarga dari dulu akan membawa kejayaan kepada saya dalam pertandingan ini,” kata Siti Nor Yuwana.

Siti tidak menyangka dia berjaya menewaskan peserta-peserta hebat yang lain dalam pertandingan itu.

Menerusi pertandingan itu yang diadakan di Pasaraya NSK Trade City Seremban 2 pada 28 Julai lalu, dia turut menampilkan dua resepi sendiri iaitu Masak Lemak Daging Salai Berapi dan Ayam Masak Kicap Cara Saya.

Mengulas mengenai hadiah lumayan yang diterimanya, Siti Nor Yuwana menzahirkan rasa penuh syukur apabila impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah bakal tercapai tidak lama lagi.

“Saya tak fikir lagi mengenai tarikh, tapi mungkin saya akan berangkat ke Makkah pada awal tahun hadapan.

“Murah rezeki kami, InsyaAllah saya akan pergi ke sana dengan suami. Memang tak sangka, dengan memasak, saya dapat menjejakkan kaki ke sana,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu dan bekerja sebagai pengendali makanan serta mempunyai perniagaan katering sendiri.

Cabaran Raja Kuah Knorr yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2016 dianjurkan oleh Uniliver Food Solutions (UFS).

Barisan juri yang mengadili Cabaran Raja Kuah Knorr 2018.

Menerusi edisi kali ini, ia diadili chef selebriti Mohd Johari Edrus atau Chef Jo; chef profesional UFS, Mohd Hadzrin Mohd Din dan pengarang majalah masakan Saji, Rosmarlinda Kamarudin.

Selain Siti Nor Yuwana di kedudukan pertama, naib johan dirangkul oleh Fazerina Ibrahim, 34 yang membawa pulang wang tunai RM10,000 serta hamper, manakala Ali Zainuddin Adnan, 39, pula berpuas hati di kedudukan ketiga dan membawa pulang wang tunai RM6,000 serta hamper.

Tujuh pememang saguhati turut menerima wang tunai RM1,000 beserta hamper.

Cabaran Raja Kuah Knorr

Artikel Lain