suria

Inspirasi ais kacang di warung, dibawa ke pentas peragaan dan jadi juara!

Rekaan Daphne Lim yang diinspirasikan dari hidangan ais kacang. -fotoNURAFIFI EHSAN/SYAZANA ABD SHUKUR

KUALA LUMPUR: Inspirasi hidangan ais kacang yang disuntik dalam rekaan busana ternyata membuka mata juri sekali gus melayakkan perekanya menjadi juara pertandingan AirAsia Runway Ready Designer 2018.

Menurut Daphne Lim Wen Sin dari Akademi Fesyen SML, Bukit Bintang, dia ternyata hilang kata-kata ketika diumumkan sebagai juara dan tidak menyangka idea itu membawa tuah kepadanya.

"Ilham dari ais kacang itu kerana sifat serta warnanya yang melambangkan kepelbagaian masyarakat yang hidup di Malaysia.

"Selepas kemenangan ini, saya mahu melancong dan cari idea untuk rekaan seterusnya. Mungkin badut juga boleh jadi inspirasi rekaan saya selepas ini," ujarnya ketika ditemui mStar Online sejurus diumumkan sebagai juara pertandingan itu.

 Daphne  berjalan bersama peragawati sejurus diumumkan sebagai pemenang Jumaat lalu.

Pertandingan AirAsia Runway Ready Designer 2018 diadakan sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2018) yang berlangsung dari 8 hingga 12 Ogos.

Menerusi pentas akhir Jumaat lalu, Daphne membawa pulang 150,000 mata ganjaran BIG AirAsia, wang RM25,000 dari FashionValet untuk menghasilkan rekaan kapsul dan penampilan dalam majalah AirAsia Travel360.

Selain itu, gadis berusia 23 tahun itu turut menerima telefon pintar berjenama Huawei dan slot untuk mempamerkan koleksinya dalam penganjuran KLFW tahun depan.

Bercerita mengenai penghasilan sembilan persalinan yang dipertandingkan tempoh hari, Daphne mengakui terpaksa bersengkang mata hampir sebulan untuk menyiapkan keseluruhan koleksi tersebut.

Pengorbanan Daphne berbaloi apabila dia berjaya mengenepikan empat pesaing lain sekaligus merangkul gelaran juara dalam acara itu.

"Berbaloi pengorbanan saya, sehari saya tidur dalam tiga ke empat jam sahaja.

"Hampir sebulan saya tak dapat tidur secukupnya. Malah, saya terpaksa tidur di pusat pengajian demi menyiapkan rekaan saya," katanya lagi.

Dalam pertandingan itu, Daphne menewaskan empat peserta lain yang turut memberi saingan sengit menerusi rekaan unik yang dihasilkan mereka.

Peserta lain turut memberi saingan sengit dengan rekaan unik dan menarik.

Lau Zhong Xun dari Kolej Raffles merangkul gelaran naib juara diikuti Tan Win Shean dari Esmod Kuala Lumpur di kedudukan ketiga.

Menjadikan jenama fesyen Dior dan pereka Alexander McQueen sebagai inspirasi, Daphne turut berharap kemenangan ini bakal menjadi titik tolak untuk kerjayanya yang cemerlang dalam industri fesyen.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PLKN, BTN dimansuhkan!

Artikel Lain