SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyelar keputusan Mahkamah Syariah Terengganu pada 12 Ogos lalu yang memutuskan hukuman enam sebatan masing-masing terhadap dua wanita atas kesalahan cuba melakukan hubungan sejenis. "Hukuman seperti itu memalukan, merendahkan martabat dan percubaan untuk memalukan si pelaku dan keluarga mereka secara terbuka. "Ia sekali gus bertentangan dengan nilai martabat manusia, dan tidak selari dengan komitmen menjaga maruah seseorang seperti yang dianjurkan dalam setiap agama. "Suhakam menegaskan hukuman sebat dalam keadaan apapun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa," ujar mereka dalam satu kenyataan. Tambah Suhakam, penafsiran hukuman dalam agama yang diterapkan pada zaman dahulu juga tidak boleh mengabaikan evolusi atau peradaban tamadun hari ini. Menerusi kejadian pada April lalu, dua wanita berusia 32 dan 22 tahun itu ditahan kerana cubaan melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta di Dungun. Selain hukuman sebat, mereka turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda RM3,000 yang ditetapkan.