suria

Lepas luahan sayu abah, ibu pula terkenang Kakak, Adik sambut di luar pintu

Nur Nailah, 2, (kiri) dan Nur Afina berusia 11 bulan dijemput Ilahi pada awal pagi Jumaat, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya. Foto Facebook Ayuni Yumni

PETALING JAYA: Selepas ‘abah’, ibu pula meluahkan kesedihan susulan nahas jalan raya yang meragut nyawa dua cahaya matanya sekali gus.

Kedua-dua anak perempuannya, Nur Nailah Al Farafisha, 2, dan Nur Afina Safiya berusia 11 bulan meninggal dunia pada pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak, Adik sering bersama, tak sangka ia petanda dua puteri akan pergi selamanya

Menerusi status yang dikongsi di laman sosial, Nor Yumni Yahya mengimbas kembali detik sebelum tragedi yang berlaku pada lewat malam Khamis lalu.

“Sebelum kejadian, Afina tengah tidur. Ibu tengah belai rambut kakak Nailah sambil borak dengan Nailah. Nailah duduk kat depan, Nailah suruh ibu duduk belakang dengan adik.

“Masa kejadian ibu nampak kereta kita saja terbabas kemudian ibu dah tak ingat apa-apa. Abah cakap ibu tercampak keluar tepi kereta. Abah sedar masa tu, abah keluar ikut tingkap,” katanya menerusi status pada Ahad yang kini tular.

Kenangan... Mohd Helmiardi dan isterinya, Nor Yumni bersama dua anak perempuan mereka, Nur Nailah dan Nur Afina.

Ibu berusia 24 tahun itu berkata, dia begitu merindui Nailah dan Afina yang lebih mesra dengan panggilan Kakak dan Adik.

“Ibu sedar, Afina sebelah kanan ibu. Kakak Nailah dan abah sebelah kiri ibu. Ibu tanya abah... abah cakap Kakak dan Adik tak gerak-gerak.

“Ibu tak mampu nak gerak sebab paha ibu dan tulang pinggul sebelah kiri ibu patah,” katanya.

Malah dirinya juga tidak dapat menahan air mata dari mengalir setiap kali melihat gambar kedua-dua puteri kesayangannya itu.

“Setiap kali ibu balik kerja petang, Kakak sambut ibu pulang terus keluar pintu pagar dan peluk ibu. Adik pula akan menjerit-jerit minta ibu dukung.

“Adik akan memberikan senyuman manis sangat pada ibu. Allah... ibu rindu sangat,” ujarnya yang meruntun jiwa selepas kehilangan dua insan tersayang.

Luahan Nor Yumni di Facebook sambil mengimbas kembali detik sebelum tragedi yang meragut nyawa dua puterinya.

Dalam perasaan yang penuh hiba, Nor Yumni bagaimanapun reda di atas apa yang berlaku namun pada masa sama cuba memperoleh kekuatan menerima hakikat itu.

“Ibu reda sayang... ibu reda sayang pergi tinggalkan ibu. Damailah Kakak Nailah dan Adik di sana ya. Tunggu abah dan ibu ya sayang.

“Ibu tak sabar nak jumpa kamu sayang puteri ibu. Ibu reda nak, ibu akan cuba untuk terus kuat menghadapi kehidupan tanpa puteri ibu di sisi,” katanya.

Terdahulu, tular luahan suami Nor Yumni, Mohd Helmiardi Nosaha, 29, di laman sosial yang mendedahkan kedua-dua anaknya lebih banyak menghabiskan masa dengannya sejak akhir-akhir ini, tanpa diduga ia petanda mereka pergi buat selama-lamanya.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam Khamis lalu, Nur Nailah, 2, dan adiknya, Nur Afina yang berusia 11 bulan maut selepas tercampak keluar daripada kereta jenis Honda City dinaiki bersama ibu bapa mereka yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Beserah, berhadapan Petronas Bukit Pelindung di Kuantan.

Dilaporkan, Mohd Helmiardi cedera di bahagian dada manakala isterinya, Nor Yumni, patah kedua-kedua belah kaki dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

Artikel Lain