suria

Visa dibatalkan empat hari sebelum terbang, kesudahannya RM4,000 melayang

Husna Syakira pernah berkunjung ke Australia sebelum ini tanpa mengalami sebarang masalah berhubung permohonan visa.

PETALING JAYA: Impian seorang kakak untuk membawa dua adiknya bermain salji di 'negara kanggaru' musnah apabila visa yang pada asalnya diluluskan telah dibatalkan pada saat-saat akhir tanpa penjelasan lanjut oleh pihak pusat permohonan visa.

Bayangkan selepas visa anda diluluskan, namun hanya kerana tindakan melampirkan tiket penerbangan yang tertera nama ketiga-tiga penumpang kepada pusat pengurusan tersebut, visa tersebut dibatalkan empat hari sebelum penerbangan.

Itulah yang berlaku ke atas Husna Syakira Mohd Hanif, 23, sehingga menyebabkan tiket penerbangan keseluruhan bernilai RM4,000 hangus begitu sahaja.

Jelas Husna Syakira, tempoh sah visa bagi adik perempuannya yang berusia 21 tahun dan akan turut serta dalam trip itu masih hidup memandangkan dia pernah berkunjung ke Australia sebelum ini.

Permohonan visa Husna Syakira secara dalam talian juga berjalan lancar, namun masalah mula timbul apabila permohonan bagi adik lelakinya berusia 18 tahun ditolak tanpa sebab.

"Saya punya lulus, adik lelaki tak lulus. Kemudian, ibu dan adik saya pergi ke pusat permohonan visa untuk menyelesaikan masalah ini.

"Mereka meminta keluarga menghantar emel menjelaskan adik saya di bawah tanggungan siapa dan pergi ke negara itu dengan siapa," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Husna Syakira menulis bebenang berkenaan insiden itu di Twitter.

Menurut posting yang dimuat naik oleh gadis itu di Twitter, ketiga-tiga beradik berkenaan dijadualkan bertolak ke Melbourne pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, empat hari sebelum penerbangan, visa Husna Syakira dan adik perempuannya pula dibatalkan kerana dipercayai berpunca daripada nama mereka disertakan bersama nama adik lelakinya dalam satu tiket penerbangan.

Kata Husna Syakira, permohonan tersebut mungkin dibatalkan kerana dikhuatiri adik lelakinya ke negara itu untuk bekerja.

Tambahnya, mereka turut pergi ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Australia Malaysia di Kuala Lumpur untuk membuat rayuan, tapi mendakwa mereka tidak dilayan.

"Mereka hanya suruh rujuk pusat pengurusan visa, tapi pusat itu pula kata tidak boleh untuk hubungi sesiapa di kedutaan dan hanya boleh emel sahaja.

"Emel dan tunggu maklum balas dalam tempoh dua minggu, tapi masalahnya kami sudah nak terbang dalam tempoh empat hari," jelas ketua pembantu juruwang itu.

Husna Syakira berkata dia hanya meluahkan kekesalan, tidak berniat untuk mengkritik kerajaan Australia di atas pembatalan visa tersebut.

Biarpun berdepan masalah tersebut, ia tidak melunturkan semangat gadis yang berasal dari Klang itu untuk berusaha mendapatkan visa ke negara tersebut sekali lagi memandangkan dia sekeluarga merancang ke Australia pada Oktober depan.

Menurutnya, jika visa itu tetap tidak diluluskan, dia akan menanggung kerugian lebih besar berjumlah RM10,000 yang meliputi tiket penerbangan untuk enam orang dan penginapan mereka sekeluarga selama sembilan hari lapan malam.

"Saya tidak menyalahkan kerajaan Austalia dan pengajaran daripada insiden ini adalah memastikan semua yang akan terbang bersama anda dapat visa sebelum membeli tiket penerbangan.

"Duit RM4,000 yang hangus itu bermakna bagi saya walaupun ada yang kata kalau saya orang susah, tak mungkin merancang untuk ke Australia lagi pada bulan 10.

"Kalau orang kaya sekali pun, takkan mereka tidak terasa duit banyak tu bazir begitu sahaja. Mereka yang tidak pernah alami situasi ini, memang mudah berkata-kata," katanya memberi reaksi kepada komen netizen.

visa Australia

Artikel Lain