suria

Kuasa tular! Pengantin 'reject' busana kahwin, tapi tukang jahit lega sebab...

Pakaian pengantin berona biru firus ini ditolak oleh pelanggan asal yang menempahnya sebelum ia dibeli pelanggan baharu setelah tular di laman sosial.

PETALING JAYA: Kegigihan seorang tukang jahit  bersengkang mata demi menyiapkan tempahan busana perkahwinan berakhir dengan kekecewaan apabila hasil kreativiti jari jemarinya ditolak mentah-mentah oleh si pengantin.

Namun, siapa sangka, bertitik-tolak daripada luahan hatinya di laman Facebook, ia ternyata mengundang simpati netizen sehingga busana tersebut berjaya dijual kepada pelanggan baharu.

Bercerita kepada mStar Online, Hasmizan Suparno, 34, ternyata lega apabila ada individu lain yang sudi membeli persalinan berona biru firus itu setelah ia tular di laman sosial.

"Alhamdulillah, baju tu memang dah terjual. Ada juga yang sudi nak beli baju buruk saya tu.

"Saya sebenarnya tiada niat pun nak tularkan posting tersebut. Saya kongsi di Facebook sebab nak jual sahaja.

"Saya post pada Khamis, hari Sabtu dah dapat pembeli baharu untuk baju itu," ujarnya sewaktu dihubungi, Isnin.

Posting di laman Facebook tukang jahit tersebut menarik perhatian ramai sejak ia dimuat naik Khamis lalu.

Posting tersebut menerima hampir 600 tanda suka dan dikongsi hampir 200 pengguna Facebook.

Tidak terhenti di situ, seorang netizen turut menularkan paparan skrin posting berkenaan di laman Twitter sehingga ia menerima lebih 10,000 ulang kicau (Retweet).

Hasmizan yang menjahit pakaian di Gombak, Selangor berkata, dia mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan sepasang baju pengantin lelaki dan perempuan itu.

Tambahnya lagi, ia juga merupakan kejadian pertama seumpamanya sejak dia menjadi tukang jahit sekitar empat tahun lalu.

Tinjauan di laman Twitter dan Facebook mendapati ramai netizen yang memuji hasil jahitan Hasmizan dan mereka turut meluahkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpanya.

"Lawa sangat, kalau ada anak nak kahwin boleh ambil, hehehe tapi anak saya sekolah lagi. Moga murah rezeki puan, sabar ya," tulis Serini Buang.

"Cantik, warna pun cantik, sayang dia tak nak," tulis Engku Zahimis Engku Hamid pula.

"Semoga tukang jahit tu semakin dimurahkan rezeki untuk semua usaha dia dalam menyiapkan pakaian ini," tulis seorang lagi netizen.

Mengulas mengenai reaksi pengguna laman sosial terhadap pakaian yang dihasilkannya itu, dia mengakui gembira apabila ramai yang membuka mata dan menghargai hasil kreativitinya.

"Alhamdulillah, saya terharu sebab ada juga yang menghargai hasil tangan saya," ujarnya lagi.

Baju Pengantin, Tukang Jahit

Artikel Lain