suria

Selepas tiga bulan, akhirnya Musa Aman kembali ke tanah air

PETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang berada di United Kingdom (UK) untuk menerima rawatan kesihatan sudah kembali ke tanah air pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang mengesahkan perkara itu berkata, pesawat membawa Musa selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dari Seletar, Singapura, kira-kira pukul 6.45 petang Selasa.

"Pemeriksaan imigresen telah diberikan kepada beliau dan penumpang yang menaiki pesawat tersebut," katanya.

Namun, Mustafar berkata Musa tidak dapat hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen atas sebab kesihatan.

"Dokumen penumpang telah diperiksa dan direkodkan ke dalam Sistem Komputer Jabatan Imigresen.

"Pemeriksaan dokumen Musa dan penumpang lain selesai lebih kurang pukul 7 petang Selasa," katanya.

Menurut Mustafar, pihaknya sudah memaklumkan ketibaan Musa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

"Tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan penumpang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai bertugas," katanya.

Terdahulu, Musa perlu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Sungai Sibuga sebelum 11 September ini atau mengosongkan kerusi itu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata arahan berkenaan seiring Perlembagaan Negeri yang memberi tempoh tiga bulan selepas sidang DUN pertama bagi wakil rakyat dipilih untuk mengangkat sumpah.

DUN Sabah pertama kali bersidang pada 11 Jun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.

Musa dipercayai meninggalkan Malaysia pada 17 Mei untuk menerima rawatan kesihatan di UK.

Musa Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain