suria

Kerajaan BN gagal bayar balik cukai pendapatan, hartanah RM16 bilion

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Rabu mendedahkan kerajaan terdahulu gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah terlebih bayar berjumlah RM16.04 bilion yang tertunggak sejak lebih enam tahun hingga 31 Mei lalu.

Katanya jumlah itu melibatkan 1,653,786 kes merangkumi syarikat, individu, persatuan dan yayasan yang tidak menerima bayaran balik cukai terlebih bayar mereka daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), disebabkan oleh kekurangan pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut. Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei tahun ini hanya RM1.486 bilion, berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar.

“Dengan kata lain, masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei tahun ini yang menyebabkan 1,653,786 pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih enam tahun dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Lim berkata ini jelas menunjukkan RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telahpun dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.

Ini bermakna hasil kerajaan Persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor, katanya.

“Tunggakan besar bayaran balik baki kredit sehingga melebihi enam tahun ini berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDNM.

“Seperti penjelasan saya sebelum ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan,” katanya.

Beliau berkata bagi meringankan beban pembayar cukai, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDNM membuat permohonan “set-off” (tolak selesai) sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

Beliau berkata permohonan set-off itu hendaklah dikemukakan kepada LHDNM untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan akan membuat bayaran balik wang mengikut kedudukan kewangan negara.

“Kami berharap kes kegagalan bayaran balik cukai langsung sebanyak RM16.046 bilion ini adalah pembongkaran mega yang terakhir berkaitan dengan skandal penyelewengan dan penyalahgunaan kewangan kerajaan lama.

“Kerajaan baharu Pakatan Harapan yang berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), akan berusaha mengatasi masalah dan skandal seperti ini termasuk memulangkan tunggakan bayaran balik cukai yang begitu besar.

“Selepas ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan tumpuan kepada pembentukan polisi ekonomi yang membolehkan Malaysia memacu ke depan dengan merancang pertumbuhan ekonomi yang mampan, menambah baik kedudukan fiskal negara dan menjamin kesejahteraan rakyat demi masa depan anak-anak kita yang penuh dengan harapan,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, Lim semasa membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, mendedahkan masalah tunggakan bayaran balik cukai input GST berjumlah RM19.397 bilion setakat 31 Mei lalu yang disebabkan oleh kegagalan kerajaan terdahulu memindahkan wang yang mencukupi kepada tabung amanah untuk bayaran balik GST. - BERNAMA

LHDN, cukai pendapatan

Artikel Lain