suria

Musa Aman ditahan tapi perintah reman ditolak

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman ditahan di Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi Khamis.

Ketua Polis Sabah Datuk Ramli Din mengesahkan penahanan itu dan berkata, pihak polis memohon perintah reman tetapi ditolak oleh mahkamah majistret.

Difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga itu akan tetap menerima rawatan di hospital di Subang Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman di Hospital Subang Jaya diselubungi kerahsiaan, kawalan ketat

Musa yang hilang sejak 17 Mei lalu kembali ke Malaysia pada Selasa dan kini mendapat rawatan perubatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Musa yang merupakan bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada malam 10 Mei untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah iaitu 31 kerusi, sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan.

Terdahulu, media melaporkan Musa kembali pulang ke Malaysia tetapi kehadirannya masih lagi menjadi rahsia.

Pengawal peribadi dan pegawai kepada bekas Ketua Menteri Sabah serta anggota polis dapat dilihat berada di kawasan sekitar di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, di tempat beliau mendapatkan rawatan.

Tanda tanya terus menyelubungi Adun Sungai Sibuga itu, apabila kawalan diperketatkan dengan pegawai hospital tidak membenarkan kehadiran pelawat tanpa izin. - The Star

Musa Aman

Artikel Lain