suria

“Anak kena maki teman saya, orang lebih simpati bila saya seorang”

PETALING JAYA: Penjelasan seorang anak berhubung kisah di sebalik video tular melibatkan bapanya yang merupakan warga emas orang kurang upaya (OKU) menjual kerepek, masih lagi menjadi bualan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu...nak raya, pakcik OKU dihantar anak jual kerepek nyaris tersembam

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah 'ketegaq' nak juga berniaga, takkan saya nak ikat kaki dia” – anak tampil perjelas video pakcik OKU jual kerepek

Walaupun sudah dijelaskan bahawa ia sebenarnya adalah kemahuan warga emas itu yang telah lama berniaga, netizen terus mengecam dan mempersoalkan mengapa warga emas itu tidak diiring atau ditemani sesiapa semasa berniaga dari meja ke meja.

Warga emas OKU berkenaan, Azmi Che sekali lagi menjelaskan bahawa apa yang dilakukan itu di atas permintaannya sendiri kerana bosan duduk di rumah.

Mengenai cadangan netizen supaya bisnes kerepek termasuk kuih boleh dilakukan di lokasi tetap, Azmi yang berusia 62 tahun itu memberitahu ia pernah dilakukan sebelum ini, namun jualannya lebih rendah.

“Pakcik pernah jual kat satu tempat, tapi tak ramai beli. Bila pakcik pergi dari satu meja ke satu meja (di gerai atau restoran), lagi senang nak dekati pelanggan.

“Pakcik memperoleh kira-kira RM90 sehari kalau jual kerepek dan kuih di satu tempat sahaja, berbanding boleh mencecah jualan RM200 sehari dari meja ke meja,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Jelasnya, idea supaya anaknya mengiringnya semasa berniaga juga pernah dilakukan tetapi kurang berkesan kerana orang ramai lebih suka mempersoalkan tentang anaknya yang masih mampu untuk bekerja.

“Mereka akan pandang anak pakcik dan tanya kenapa anak masih sihat tapi biarkan ayah berniaga. Malah pernah dimarah dan dimaki. Jadi, saya tak mahu anak saya bersama bila saya pergi menjual, cukuplah tengok dari dekat saja. 

“Bila mereka nampak pakcik dalam keadaan macam ni (kurang upaya), mereka lebih simpati, jadi mereka beli,” katanya yang telah berniaga bertahun-tahun, malah pendekatan jualan dari meja ke meja juga pernah dilakukan bersama arwah isteri. 

Sementara itu, anak tirinya yang baru berusia 22 tahun itu turut mengakui pernah dimarahi orang awam kerana menemani bapanya berniaga.

Walaupun telah berhenti kerja di kantin sekolah kerana mahu menjaga bapanya itu, Aisyah Sudin yang merupakan anak keempat daripada enam adik beradik turut membuat kuih untuk dijual bapanya.

“Kerepek yang ayah jual tu kami ambil daripada pembekal dan ada kuih yang saya buat sendiri seperti kuih loyang, kuih tempek dan kuih kapal terbang.

“Saya atau suami akan pandu van, bawa ayah ke lokasi untuk berniaga, kemudian kami pantau dia,” katanya mengenai suaminya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Bagaimanapun Azmi yang turut dikenali sebagai Pak Mi menyedari video yang tular itu telah mengaibkan anaknya sehingga dilontarkan dengan kata-kata cacian.

Sehubungan itu, dia bersedia untuk mempertimbangkan cadangan berniaga di lokasi tetap yang mampu menjana lebih atau menyamai pendapatan yang diperolehnya sekarang.

Kisah mengenai pakcik Azmi yang menjual kerepek sambil mengusung alat bantuan berjalan (walker), tular selepas dua video mengenainya dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook pada malam Selasa.

Wanita berkenaan pada petang Khamis tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial selepas mengetahui hal sebenar.

“Saya mohon maaf kepada anaknya walaupun saya hanya berniat untuk dapatkan bantuan.  Saya bercadang untuk ambil anaknya bekerja dengan saya jika sudi. Itu bantuan yang saya dapat hulurkan,” katanya.

Artikel Lain