suria

Farid Kamil tidak hadir ke mahkamah, kes disebut semula 7 Sept

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari tidak dapat hadir ke Mahkamah Majistret pada Isnin bagi sebutan semula kes lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya kerana menjalani pembedahan lutut.

Peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili pelakon itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani pembedahan tersebut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Isnin.

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan perubatan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada pihak mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Firdaous Mohamad Idris kemudian memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Farid Kamil sekiranya laporan perubatan dan sijil cuti sakit gagal dikemukakan.

Majistret Nor Ariffin Hisham bagaimanapun tidak membenarkan pihak permohonan pendakwaan agar tidak dikeluarkan waran tangkap dan menetapkan 7 September bagi sebutan semula kes pelakon filem J. Revolusi itu.

"Sepatutnya, tiada keistimewaan diberikan terhadap tertuduh. Dia seharusnya mengemukakan laporan perubatan dan sijil sakit sepertimana yang lain sekiranya tidak dapat hadir", kata Nor Ariffin.

Faizul memohon waran tangkap tidak dikeluarkan terhadap anak guamnya atas alasan dia sendiri telah memaklumkan kepada pihak mahkamah mengenai ketidakhadiran anak guamnya.

"Saya mohon pihak mahkamah memberikan peluang kepada anak guam saya untuk menyerahkan sijil sakitnya namun sekiranya dia gagal, terpulanglah kepada budi bicara pihak mahkamah", kata peguam itu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan lima hari bermula 27 November hingga 14 Disember depan bagi perbicaraan kes dihadapi pelakon itu dengan sekurang-kurangnya tujuh saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh  menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Jan, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC. -Bernama

Farid Kamil

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan