PETALING JAYA: Jika dahulu, pesakit perlu ke klinik sebelum boleh bercakap dengan seorang doktor. Kini, dengan kemajuan teknologi, golongan doktor semakin mudah didekati lebih-lebih lagi apabila mereka sendiri yang gemar berkongsi ilmu kepada pembaca menerusi media sosial masing-masing. Namun, tidak semua orang suka apa yang doktor masa kini lakukan. Begitu juga dengan pengetahuan yang dicurahkan oleh golongan profesional seperti mereka. Selain, didakwa sengaja ingin mengacau periuk nasi golongan pengasas produk dan tidak mahu melihat orang Melayu maju, para doktor dilemparkan tuduhan ingin mendapatkan publisiti murahan melalui media sosial. Terkini, seorang selebriti wanita mengecam tindakan segelintir doktor yang berperang melawan mitos dan penggunaan produk yang melanggar tuntutan perubatan yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana didakwa ingin menjatuhkan perniagaannya. Paparan skrin daripada posting oleh seorang selebriti wanita tempatan yang menjual pencuci intim wanita. "Dia (doktor) yang Melayu je akan menggelupur nak publisiti murahan. "Tiada pun aku nampak doktor Cina, India menggelupur nak publisiti murahan di Instagram dan Facebook. "Doktor-doktor ini semua berlumba-lumba nak popular sahaja. Kamu (doktor) mahu jadi artis ke nak jadi doktor? Semualah kamu nak sapu," tulis selebriti tersebut. Jelas seorang doktor yang memiliki seramai 141,399 pengikut di Facebook dan aktif berkongsi tentang ilmu perubatan di akaunnya, Dr Rusyainie Ramli, para doktor berkongsi ilmu atas sifat tanggungjawab dalam diri untuk membantu netizen menjadi lebih bijak. Kata pegawai perubatan kanan Angkatan Tentera Malaysia itu, wang di dalam poketnya juga tidak bertambah biarpun jumlah pengikut bertambah sekiranya benar populariti yang ingin dicari oleh doktor sepertinya. Dr Rusyainie. "Daripada cerita tentang perihal peribadi, lebih baik kami (doktor) beri pandangan tentang isu-isu tular berkaitan penyakit dan perubatan kepada pengguna. "Tapi kami tidak melakukan khidmat nasihat secara 'online', pesakit tetap kena jumpa doktor untuk dapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Dr Rusyainie ketika mengulas mengenai dakwaan selebriti terbabit bahawa doktor bukan Melayu tidak mencari publisiti di media sosial berkata, pembaca Melayu tidak tahu sama ada doktor tersebut melakukan perkara sama kerana mereka tidak berada dalam kelompok pembaca bahasa Mandarin atau Tamil. Jelasnya, tiada istilah diskriminasi dilancarkan ke atas pengasas produk yang datang daripada kalangan orang Melayu tetapi golongan doktor hanya ingin mendidik masyarakat. Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Anis Remli berkata: "Mereka ni pasal apa? Ajak masyarakat 'berperang' dengan pegawai perubatan ke? "Biasa tak pergi hospital atau wad tengok macam mana doktor dan jururawat bertugas. Aduh, sedih betul," katanya.