suria

Berkelah 'merdeka' bersama Najib

Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengadakan 'berkelah Merdeka' bersama pengikutnya di Memorial Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Program "1Malaysia Merdeka Picnic" berkelah bersama bekas perdana menteri itu dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi, dengan sesi 'berjalan pantas' (brisk walk) sebelum berkumpul di dewan pada pukul 8 pagi.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkongsi poster mengenai majlis itu, yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya.

Lokman bagaimanapun berkata, pendaftaran untuk acara tersebut telah ditutup kerana dewan tersebut hanya mampu menampung 120 orang pada satu-satu masa.

Beliau menambah, lebih 300 orang telah berdaftar.

Menurut Lokman, Najib turut dijadualkan memberi ucapan pada majlis itu sebelum membuat lawatan ke dewan pameran.

"Ia hanya perhimpunan biasa. Kepada sesiapa yang biasa berkumpul di Dataran Merdeka setiap 31 Ogos, mereka ada pilihan lain.

"Mereka tidak perlu pergi ke Putrajaya," katanya pada Khamis.

Lokman berkata, himpunan itu dianjurkan oleh kumpulan Facebook, Mengenang Jasa DSN, dan beliau hanya membantu untuk mempromosikan majlis tersebut,

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Putrajaya.

Artikel Lain