suria

Dikecam netizen, Fatin dedah punca sebenar gagal 'perform' pada Sukan Asia

PETALING JAYA: Menerima kecaman selepas gagal menunjukkan prestasi cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, atlet wanita papan selaju, Fatin Syahirah Roszizi akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar yang menimpa dirinya.

Fatin menjelaskan, punca dia tidak fokus dan gagal memaparkan aksi memberansangkan ketika saingan itu disebabkan kecederaan ligamen yang dialami pada buku lali kaki kirinya.

"Sebulan sebelum pertandingan saya ada menjalani latihan di Palembang.

"Ketika itu, saya terjatuh dan mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kaki kiri.

"Nak jalan pun sakit, orang mana tahu..., ujar remaja berusia 16 tahun itu kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.


Kecederaan ligamen yang dialami Fatin antara punca dia gagal mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan Asia 2018

Mengakui agak gementar dan tidak bersedia berdepan perlawanan peringkat rantau ini, Fatin memberitahu dia hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan bagi menyiapkan diri untuk temasya besar itu.

"Saya sempat 'training' untuk Sukan Asia hanya sebulan lebih sahaja kerana kecederaan ligamen yang dialami.

"Ia sangat memberi kesan terhadap prestasi saya kali ini kerana gagal menunjukkan aksi cemerlang bagi mengumpul mata.

"Sebulan lebih satu tempoh yang singkat untuk saya menyiapkan diri kerana dalam masa itu kecederaan belum sembuh sepenuhnya.

Selain itu, netizen turut mempersoalkan kriteria pemilihan bagi acara itu.

Menurut Fatin, dia dipilih mewakili negara di Sukan Asia selepas merangkul gelaran juara pada Malaysia Extreme Sports Championship 2017.


Dari kiri Fatin bersama Christina, Yaziru dan Jurulatih, Joe Ipoh

"Sebelum ini saya bermain hanya untuk suka-suka dan belajar sendiri dengan kawan-kawan," katanya yang mula bermain papan selaju sejak berusia 13 tahun.

Selain itu, beliau menjelaskan, keputusannya memadam kesemua gambar miliknya adalah disebabkan kecewa dan tidak sanggup menerima kecaman netizen.

"Saya berasa tertekan dengan komen yang ditinggalkan segelintir netizen pada gambar di Instagram saya.

"Kecaman yang diberikan sangat kuat hingga membuat saya patah semangat, kerana itu saya buat keputusan untuk memadam semua gambar di akaun Instagram saya, katanya.


Fatin memadam kesemua gambar yang dimuatnaik ke akaun instagram miliknya

Sebuah klip video yang memaparkan aksi kurang memberansangkan atlet papan selaju wanita negara menjadi tular dan menerima kritikan hebat dari netizen selepas menamatkan aksi di tangga tercorot dengan aksi buruk seawal permainan bermula.

Fatin dilihat gagal mempamerkan aksi-aksi menarik bagi mengumpul mata apabila hilang kawalan pada 'skateboard' miliknya.

Dalam perlawanan itu, Fatin hanya mengumpul sebanyak 5.4 mata sahaja.


Skateboard, Fatin Syahirah

Artikel Sebelum

Artikel Lain