SHAH ALAM: Satu lagi kekejaman ke atas haiwan berlaku, dilaporkan di Shah Alam, dan kali ini membabitkan anjing terbiar yang dibunuh dengan kejam sebelum dimakan. Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dirakamkan oleh dua saksi yang memberi makanan kepada anjing terbiar dekat Persiaran Elmina. Ketika kejadian, mereka melihat sekumpulan lelaki warga Indonesia memukul seekor anjing yang terbiar di bahagian kepala, menggunakan parang dan kayu. Anjing tersebut yang setengah mati kemudian dicampakkan ke unggung api sebelum dagingnya dimakan. Saksi kemudian memuat naik video berkenaan secara dalam talian, sebelum dikesan oleh pengasas Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia, Mukunnan Sugumaran, sebelum ia dipadam. Mukunnan, yang bercakap kepada saksi berkata, terdapat kira-kira 20 lelaki di lokasi kejadian, tetapi sebaik mereka memulakan rakaman, sebahagian mereka bersembunyi di sebalik pokok-pokok, manakala yang lain terus menjamah daging. "Saksi-saksi bercakap kepada kumpulan lelaki berkenaan, dan diberitahu bahawa ia merupakan lumrah buat mereka untuk mendapatkan dua sehingga tiga anjing, atau kucing," katanya, sambil menambah bahawa kumpulan itu tinggal di ladang kelapa sawit berdekatan. Mukunnan dan saksi membuat laporan berhubung insiden di Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pada 28 Ogos lalu. "Dalam laporan persatuan, kami menyenaraikan tuntutan daripada pihak berkuasa. "Kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki yang membunuh anjing secara kejam sebelum memakannya. "Kami juga meminta DVS mengecualikan kucing dan anjing sebagai haiwan yang boleh dimakan kerana pada masa ini, tiada undang-undang yang melanggar undang-undang sekiranya memakannya," katanya. Persatuan turut menggesa pengikut di media sosial supaya membuat laporan seumpamanya bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat kes tersebut. Mukunnan berkata, ia bukan kes pertama kali yang berlaku membabitkan anjing terbiar yang dimakan.