PETALING JAYA: Sebanyak AS$12 juta disyaki diseleweng penjawat awam dengan baki kira-kira AS$5 juta sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan lapan pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Selain bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang direman selama lima hari bermula Rabu dan terkini seorang ahli perniagaan berstatus Datuk direman selama tujuh hari bermula hari ini. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, suspek terkini kes berkenaan ditangkap di Kelantan kira-kira pukul 11 malam Rabu sebelum dibawa ke Putrajaya untuk tindakan lanjut. "Ahli perniagaan yang ditahan itu adalah rakyat Malaysia dan memiliki status Penduduk Tetap (PR) United Kingdom (UK)," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, Khamis. Menurut Azam, setakat ini, pihaknya menjumpai kira-kira AS$6.3 juta daripada keseluruhan AS$12 juta wang yang disyaki diseleweng itu. "Kita mengesyaki AS$12 juta telah dibawa masuk untuk kegunaan kerajaan dan kita cuma jumpa AS$6.3 juta dan baki lebih kurang AS$5 juta masih dikesan. "Jumlah terbesar yang ditemui mencecah RM4.07 juta di kondo yang terletak di Cyberjaya, manakala selebihnya dijumpai di beberapa lokasi termasuk di pejabat JPM," katanya. Tambah beliau, SPRM sedang menyiasat sama ada wang tersebut dibawa masuk sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei lalu. "Kita syak wang itu dibawa masuk tiga bulan lalu dan siasatan sedang dilakukan untuk mengesahkan sama ada ia dibawa masuk sebelum atau selepas PRU14," katanya. Dalam pada itu, Azam turut menafikan penangkapan yang dibuat ada kaitan dengan surat yang ditulis Hasanah kepada Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) bertarikh 4 Mei lalu. "Berlaku kekeliruan... ada yang katakan kes ini ada kaitan dengan isi surat kepada CIA tapi itu sebenarnya bukan," katanya. Sebaliknya, beliau berkata siasatan terhadap kes tersebut menjurus kepada salah guna kuasa penjawat awam. "Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai salah guna wang kerajaan," katanya sambil menambah kes itu disiasatan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. Jelas beliau, setakat ini pihaknya sudah memanggil tiga warga asing untuk membantu siasatan. "Menurut pegawai penyiasat tidak kurang 20 saksi dikesan untuk beri bantuan siasatan kes ini. "Jadi saya meminta pihak yang ada maklumat mengenai baki wang itu disyaki disimpan dan digunakan supaya berhubung dengan pegawai SPRM," katanya.