KUALA LUMPUR: Dakwaan palsu mengenai cubaan menculik di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) menarik persepsi negatif daripada orang awam dan boleh menyebabkan pelancong mengelak daripada melawat Sabah. Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Tan Kok Liang (gambar) berkata mereka yang sudah berada di sana mungkin memendekkan lawatan mereka untuk menyenangkan hati anggota keluarga mereka berikutan berita palsu itu. “Pihak berkuasa perlu bertindak pantas dan tegas ke atas dakwaan palsu yang menyebabkan kebimbangan dalam masyarakat mengenai keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis. Adalah amat penting kepada semua warga Malaysia dan media mengambil perhatian mengenai kerosakan akibat berita buruk kepada negara dan industri pelancongan terutamanya apabila berita terbabit adalah palsu dan tidak perlu disebarkan. “Matta terkejut dengan beberapa berita sensasi yang direka baru-baru ini untuk menarik perhatian oleh mereka yang mencari publisiti murahan. Yang terkini adalah dari seorang pelakon yang mendakwa beliau dan seorang lagi pelakon hampir diculik oleh lanun di Daerah Semporna, Pantai Timur Sabah,” kata Tan. Tan berkata berita palsu ini segera disangkal oleh Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Hazani Ghazali kerana tidak berasas. Hakikatnya, sepanjang pengambaran filem itu, kru filem berada di bawah pengawasan Pasukan Khas Laut (Paskal) dan tiada cubaan menculik atau menculik di sepanjang 2017 dan setakat ini, tahun ini, kata Hazani. Pada Rabu, Esscom mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan palsu yang boleh menggugat keselamatan negara. Hazani berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak benar serta menimbulkan kegusaran masyarakat mengenai soal keselamatan dan ketenteraman awam khasnya di kawasan Esszone. - Bernama