KUALA LUMPUR: Walaupun tiada sambutan besar-besaran, rakyat Malaysia tetap bersemangat untuk menyambut ulang tahun ke-61 kemerdekaan negara. Semangat Malaysia baharu terus dizahirkan rakyat apabila beberapa lokasi tumpuan sambutan ambang Hari Kebangsaan dipenuhi orang ramai meskipun tiada penganjuran konsert dan pertunjukan bunga api secara meriah. Di SHAH ALAM, sambutan hitungan detik Ambang Merdeka di i-City turut membangkitkan nostalgia bagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar. Kunjungan Anwar tersebut dianggap sebagai sebuah kepulangan buat beliau kerana pernah merasmikan 'ultrapolis' berkeluasan 29 hektar itu pada 1997 ketika bergelar Timbalan Perdana Menteri. Ketibaan beliau pada jam 10.20 malam sebagai tetamu khas Ambang Merdeka 2018 bertema ‘Terima kasih Malaysia' disambut Pengerusi Eksekutif i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong dan pengurusan kanan i-City. Kira-kira 40,000 orang memeriahkan majlis sambutan tersebut dan antara hadirin ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Media Star Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai. Anwar (dua, kanan) meletakkan Jalur Gemilang ketika melawat SnoWalk sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di i-City. - Bernama Sambutan peringkat negeri Selangor pula dianjurkan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dengan kehadiran kira-kira 10,000 orang. Sambutan berkenaan yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan barisan kepimpinan kerajaan negeri itu dimulakan dengan persembahan tarian yang menggabungkan tarian tradisional tiga kaum terbesar negara, Melayu, Cina dan India. Acara kemudian diteruskan dengan perbarisan 62 kontinjen yang terdiri daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pasukan uniform dan syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor. Di KUALA LUMPUR, ribuan rakyat dan pelancong asing memenuhi Dataran Merdeka dan kawasan Bukit Bintang bagi sambutan Ambang Merdeka yang diserikan dengan penganjuran konsert serta pertunjukan bunga api. Di Matic Jalan Ampang, ambang kemerdekaan disambut dengan memartabatkan seni warisan bangsa iaitu silat dan alunan lagu kerohanian. Program seawal jam 8.30 malam itu dimulakan dengan pertunjukan silat daripada Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) dan persembahan nasyid oleh beberapa kumpulan yang baru dalam industri seni. Pengunjung, Lee Chun Ann (kiri) bersama tiga anaknya tidak melepaskan peluang hadir ke Dataran Merdeka seawal pukul 7.30 malam untuk menunggu detik 12 malam. - Bernama Timbalan Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata sambutan itu dilihat sebagai satu yang sihat dengan menampilkan kebudayaan seni silat yang menjadi warisan negara. "Selain silat, ada juga selawat, nyanyian nasyid, alunan qasidah dan lagu kerohanian. Kita mahu jelmakan semangat cintakan negara dan mahu budaya kita kekal daripada generasi ke generasi," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Matic, malam Khamis. Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar, Aminuddin Harun menyertai 700 jemaah pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Masjid Negeri di sini, malam Khamis. Beliau yang tiba pada jam 7.10 malam menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Dr Muhamad Yusry Mazlan, diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat. Majlis berkenaan turut dihadiri barisan Exco kerajaan negeri, pegawai kanan kerajaan serta masyarakat setempat. Di KEDAH, sambutan Ambang Merdeka berlangsung di Dataran Kompleks Pekan Rabu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bersama isteri Tok Puan Norzieta Zakaria Kira-kira 1,000 rakyat hadir pada sambutan itu yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti deklamasi puisi oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kasim bertajuk ‘Terima Kasih Rakyat Malaysia', syair ‘Negara Gemilang' oleh Wan Ismalinda Wan Jaafar, persembahan ukelele serta nyanyian lagu patriotik. Mukhriz bersama isteri Norzieta dan barisan kepimpinan Exco Kedah mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Pekan Rabu Alor Setar. - Bernama Di PERLIS, sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam Khamis. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis berkenaan. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu negeri dan bacaan doa diikuti persembahan seni dan kebudayaan serta perarakan lebih 60 kontinjen melibatkan pelbagai agensi, jabatan serta institusi pengajian. Acara yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri itu diserikan dengan persembahan bunga api tepat tengah malam ini. Di TERENGGANU, acara Ambang Merdeka di Dataran Shahbandar disambut secara sederhana tetapi meriah dengan pengisian berbentuk kerohanian. Kira-kira 2,500 orang penduduk sekitar Kuala Terengganu turut dihiburkan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Hijjaz, ceramah agama oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan diakhiri dengan persembahan bunga api sebaik tiba detik 12 tengah malam. Turut hadir Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan barisan Exco serta kepimpinan negeri. - Bernama