suria

Tiada SST di pulau bebas cukai tanda prihatin kerajaan - Niagakawi

LANGKAWI: Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di pulau bebas cukai mencerminkan keprihatinan terhadap peranan pulau-pulau berkenaan dalam meningkatkan perolehan negara.

Timbalan Presiden Persatuan Niagakawi, Datuk Alexander Isaac, pada Ahad berkata, penjelasan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada Sabtu, menunjukkan bahawa kerajaan sedar akan kesan buruk cukai berkenaan jika ia dilaksanakan di pulau Langkawi, Labuan dan Tioman.   

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, pulau berkenaan bergantung kepada statusnya sebagai bebas cukai untuk menarik pelancong dan menjadikan pelancongan sebagai antara punca utama pendapatan negara.

“Saya percaya ia (pelancongan) dikenal pasti sebagai antara sumber perolehan bagi membantu negara mengurangkan hutang yang mencecah trilion ringgit,” katanya. 

Beliau berharap, Guan Eng akan bertemu pemain industri kerana mereka juga mengambil berat berhubung hutang yang besar itu dan bersedia berkongsi idea kaedah mengurangkan masalah ini.

“Idea kami adalah selaras dengan meningkatkan perolehan negara dan bukannya membebankan rakyat,” tambahnya. - Bernama

SST, Langkawi

Artikel Lain