PETALING JAYA: Tugasnya mungkin nampak mudah, tapi kalau jiwa tidak kental, bukan semua dapat menggalas tanggungjawab sebagai pemandu van jenazah. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Runner’ sanggup mandi, kafan, kebumi jenazah secara percuma sentuh hati netizen Bukan soal takut, tetapi ketabahan hati dan perasaan mereka berdepan dengan waris atau keluarga yang menemani jenazah sepanjang perjalanan ke destinasi untuk urusan pengebumian. “Ya Allah, sayu hati Hery pagi ni melihat anak kecil yang baru sahaja kematian ibunya. Walaupun ibunya hanya di sebelah tetapi ibunya telah meninggal dunia. Melihat anak kecil ini tidur lena, Hery terpaksa perlahankan van jenazah supaya anak kecil selesa dan lena di samping pelukan ayahnya. “Ya Allah selamatkan perjalanan kami, ya Allah alihkanlah hati anak ini supaya dapat menerima kehilangan ibunya kerana anak ini masih kecil,” kata pemuda bernama Mohd Zulhairi Zainol menerusi statusnya di Facebook, pagi Selasa sehingga tular dan dikongsikan lebih 3,000 kali. Mohd Zulhairi ketika dihubungi mStar Online memberitahu, kejadian yang berlaku awal pagi Selasa ketika dalam perjalanan dari Hospital Putrajaya ke Kuala Kangsar itu untuk urusan pengebumian jenazah yang meninggal dunia akibat demam denggi. Pemuda berusia 34 tahun ini berkata, jenazah ditemani suami dan seorang daripada tiga anaknya dalam perjalanan yang mengambil masa hampir empat jam itu. “Suami arwah beritahu saya anak bongsunya kena naik sekali dalam van jenazah sebab dia rapat dengan ibunya. Dua anak yang lain naik kereta berasingan. “Biasanya kalau ke Kuala Kangsar hanya mengambil masa kira-kira tiga jam, tapi saya memandu lebih perlahan daripada biasa. Bertolak dari dari pukul 2.45 pagi, pukul 6.20 pagi baru sampai,” katanya pada Selasa. Mohd Zulhairi yang berpengalaman sebagai pemandu van jenazah sejak lebih dua tahun berkata, bapa kanak-kanak itu keletihan dan anak perempuannya dalam lingkungan tiga tahun pula didakapnya sepanjang perjalanan. Mohd Zulhairi Zainol. Sebagai bapa kepada tiga anak termasuk mempunyai anak kecil berusia setahun dan dua tahun, Mohd Zulhairi dapat menyelami perasaan kanak-kanak itu yang terjaga beberapa kali sepanjang perjalanan. “Salah seorang anak saya berusia dua tahun, jadi biasanya anak kecil ini tidak mahu berenggang dengan ibu bapanya bila waktu tidur. “Melihat kanak-kanak itu dari cermin pandang belakang van, saya tahu dia juga mahu tidur bersama (jenazah) ibunya. Saya sebak,” katanya yang sebelum ini tular kerana menjadi ‘runner’ yang sanggup menguruskan jenazah bermula daripada memandikan hingga ke liang lahad yang dilakukan secara percuma, menyentuh hati netizen. Namun di tengah perjalanan pada kira-kira pukul 4 pagi, Mohd Zulhairi dikejutkan dengan suara sayup-sayup anak kecil itu yang menusuk sanubarinya. “Saya sedang memandu ditemani rakan setugas, tiba-tiba anak kecil ini terjaga dari tidur dan memanggil ibunya, mak... mak... sedangkan ibunya ada di sebelah (dalam keranda). “Apa yang saya perlu lakukan, ayahnya sedang tidur keletihan dan ibunya sudah pergi menemui Ilahi. Sayu saya dengar suara dia sayup-sayup, rasa nak menitiskan air mata,” katanya. Sejak bergelar pemandu van jenazah, pemuda berasal dari Bangi ini berkata, dia telah membawa dan menguruskan ratusan jenazah termasuk berdepan waris dan keluarga mereka. “Tapi awal pagi tadi adalah pengalaman pertama saya berdepan dengan keadaan seorang anak kecil yang menemani jenazah ibunya di dalam van yang saya pandu. “Melihatkan keadaan itu, ia menjadi peringatan untuk saya sendiri bahawa setiap insan yang hidup di dunia suatu hari akan pergi juga (menemui Ilahi). Selagi mereka yang disayangi itu hidup, jagalah mereka sebaik-baiknya,” katanya dengan nada sebak.