PETALING JAYA: Rambut dan janggutnya beruban, berjalan dalam keadaan sedikit bongkok, seorang lelaki warga emas masuk ke sebuah kedai untuk meminta sedekah. Dari sebuah meja ke sebuah meja yang lain di sebuah restoran di Pulau Pinang, ‘pakcik’ ini mendekati pelanggan termasuk personaliti media sosial, Faiz Dickie. Namun ketika itu, Faiz Dickie ‘terlepas’ untuk membantu pakcik berkenaan seperti kebiasaan sebelum hadir seorang gadis bertudung hitam (GBH), sekali gus membuka matanya untuk menderma. “Pernah tak kau dalam situasi nak tolong orang atau sedekah tapi entah bagaimana ketika itu kau tak jadi buat. Kemudian kau macam rasa ‘keji’ sambil fikir ‘kenapa aku tak buat tadi?’ “Abang (Faiz Dickie) rasa bersalah dan terus usha (perhati) mana pakcik tu dan ketika itu ternampak dia tengah bercakap dengan GBH ni. GBH tawar pakcik ni makanan tapi pakcik tu minta air milo ais saja. “Bila GBH pergi dari situ dan pakcik sambung minum air, abang rasa terharu/bersalah sebab begitu baiknya GBH dan jahatnya diri abang. Terus abang seluk poket, pergi dekat pakcik tu dan beri semua yang ada dalam poket. Barulah rasa lapang sikit dada,” tulisnya di laman Instagram pada Rabu. Faiz ketika dihubungi mStar Online berkata, situasi itu tercetus semasa dia sedang makan tengah hari bersama bapa dan kakaknya dalam kunjungan mereka ke Pulau Mutiara. Faiz atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal berkata dia amat bersyukur kerana lelaki dalam lingkungan umur antara 60 dan 70 tahun itu masih di restoran tersebut. “Saya dah tak ada emak, dah lama meninggal. Yang ada tinggal cuma abah, dan saya memang rapat dengan abah. “Melihat pakcik tu, saya terbayang bapa sendiri. Kesian pakcik tu... agak-agaknya ada tak orang nak tolong kalau pakcik tu abah saya,” katanya. Faiz menjelaskan, kesibukan seharian membuatkan seseorang itu sering terlepas pandang untuk membantu orang lain tanpa disengajakan, dan kemudian tidak berpeluang untuk melakukannya selepas itu. “Contohnya bila saya memandu kereta, nampak orang susah tepi jalan. Bila kita datang balik ke tempat tu, dia tak ada. Kita terlepas peluang tu (nak bantu). “Dalam situasi saya semalam, saya bernasib baik masih dapat jumpa pakcik itu. Dia berterima kasih dan tersenyum. Saya rasa bersyukur sangat,” katanya. Siapakah gadis bertudung hitam yang berhati mulia ini? Foto ihsan Faiz Dickie Menurut Faiz, kemunculan gadis bertudung hitam itu memberi inspirasi kepada dirinya untuk diberikan peluang kedua melakukan kebaikan terhadap orang lain. Malah, dia turut menasihatkan semua pihak supaya peka dengan keadaan sekeliling dan lebih prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. “Saya tak kenal siapa gadis bertudung hitam ni. Tapi dia melakukan dua perkara yang menyentuh hati saya, pertama dia membantu memberi derma kepada pakcik tu. “Keduanya, dia memberi inspirasi atau menyedarkan saya untuk turut bersedekah. Sesungguhnya kemuliaan dia dalam membantu tanpa disedari mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara yang sama, termasuk saya,” kata Faiz.