suria

Imigresen Selangor pergiat operasi banteras pengawal keselamatan haram

PETALING JAYA: Pendatang asing tanpa izin (Pati) ada di mana-mana di negara ini, terutama di kawasan perumahan, termasuk kediaman golongan elit.

Ini kerana perumahan mewah tentunya mempunyai pengawal keselamatan dengan kebanyakannya warga asing, bertugas mengawal dan memantau kawasan kejiranan.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, terbaru jabatan itu menjalankan operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Rabu lalu dengan menjalankan pemeriksaan terhadap pengawal keselamatan warga asing.

Operasi antara pukul 12 tengah hari dan 3.30 petang itu melibatkan 11 pegawai di lima premis sekitar Petaling Jaya dan Batu Caves.

Keseluruhannya pemeriksaan dilakukan terhadap 24 individu, di mana lapan daripadanya adalah Pati iaitu empat warga Nepal, tiga rakyat India dan seorang dari Myanmar.

Mohamad Shukri berkata, operasi dijalankan secara berterusan dan kebanyakan kawasan panas atau hotspot tertumpu kepada kediaman berpagar dan kejiranan berpengawal termasuk pangsapuri dan kondominium.

"Bersama KDN, kita menjalankan operasi di semua lokasi dari semasa ke semasa, dan menerusi risikan, maklumat dan aduan masyarakat. Semua lokasi kita periksa termasuk perumahan mewah sebab di situ juga ada pengawal keselamatan. 

"Sepanjang operasi di semua lokasi, kesalahan pengawal keselamatan warga asing adalah mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan, menyalahgunakan pas lawatan sosial, tidak mempunyai permit kerja yang sah atau permit tamat tempoh serta memalsukan dokumen," katanya kepada mStar Online.

Mohamad Shukri Nawi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l), masing-masing di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Pada Khamis, The Star melaporkan mengenai jaminan keselamatan di kediaman berpagar dan kejiranan berpengawal di USJ, Subang Jaya tergugat, apabila tahun ini sahaja, sebanyak enam rumah dipecah masuk dalam tempoh lima bulan.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Mohamad Shukri berkata, sebarang insiden jenayah akan dipantau pihak polis, manakala Jabatan Imigresen negeri bekerjasama dengan pasukan keselamatan itu bagi memantau pergerakan Pati dan kesalahan imigresen, terutama di kawasan perumahan.

Walaupun operasi imigresen dilakukan di semua lokasi, beliau berkata, kawasan perumahan di Subang Jaya akan diberi lebih perhatian selepas ini dalam pemeriksaan pengawal keselamatan warga asing.

"Kita juga bertindak berdasarkan aduan dan laporan  masyarakat setempat. Jika mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dalam kalangan pengawal keselamatan di kawasan mereka, laporan boleh dibuat kepada kita.

"Kita bukan sahaja mahu keselamatan perumahan terjamin, bahkan pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan itu berdaftar secara sah.

"Penduduk setempat dinasihatkan supaya memberi maklumat tepat terutama alamat perumahan bagi memudahkan kita bertindak," katanya sambil menegaskan hanya warga Nepal dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan yang sah di Malaysia.

Mengikut rekod Jabatan Imigresen Selangor, sebanyak 72 operasi dengan 232 premis diperiksa dari Januari sehingga kini, dan mengesan 105 Pati yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Daripada jumlah Pati yang ditahan itu, warga Nepal mencatatkan jumlah yang paling tinggi iaitu 46 orang, India (26), Pakistan (17), Bangladesh (6), Myanmar (2), dan Filipina dan Indonesia, masing-masing empat (4) tangkapan.

Imigresen, pengawal keselamatan, Pati

Artikel Sebelum

Artikel Lain