PETALING JAYA: Tiada pemantauan ke atas akaun media sosial keluarga Istana Johor, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. "Berhubung dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor di laman Facebook yang bertajuk ‘My Father and I Being Monitored’, polis ingin memberi jaminan kepada Istana Johor bahawa perkara ini tidak berlaku. "Saya akan memohon perkenan DYMM Tuanku Sultan Johor untuk menghadap bagi memaklumkan perkara ini," kata Mohamad Fuzi dalam satu kenyataan pada Isnin. Pada Ahad, menerusi status di Facebook, Tunku Mahkota Johor mendakwa dirinya dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang diperhatikan. Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mendakwa 'cybertroopers' diletakkan pada halaman Facebook Johor Southern Tigers serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor. "Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai telah menyampaikan pesan bahawa dirinya dan Sultan Joho sedang diperhatikan. "Ya, saya memang vokal tetapi ianya lahir dari rasa kasih sayang dan tanggungjawab saya kepada negeri Johor serta rakyatnya. "Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini," katanya.