suria

PRK: Papagomo lobi mahu lawan Anwar di PD

Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menawarkan diri untuk menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan datang.

Beliau yang sebelum ini turut dikenali sebagai penulis blog berkata, PRK Port Dickson sengaja diadakan bagi memuaskan hati Anwar, dan dakwanya, Pakatan Harapan berterusan berpolitik sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu.

“Malah pengundi muda ditipu hidup-hidup oleh Pakatan dengan mengabaikan semua janji yang ditabur pada kempen PRU lalu.

“Suara rakyat suara keramat dan saya menawarkan diri untuk menjadi suara rakyat khususnya anak muda bagi kita menterjemahkan kepada kerajaan bahawa rakyat mahu pemimpin kerajaan menghentikan sandiwara politik, sebaliknya bekerja demi rakyat.

“Justeru itu, saya menyeru sokongan rakyat bagi membantu kempen untuk saya dicalonkan pihak Barisan Nasional bagi PRK Port Dickson,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Instagramnya, Khamis malam.

Wan Muhammad Azri berkata, tanpa sokongan rakyat dan suara dari rakan-rakan media adalah mustahil untuk beliau terpilih sebagai calon BN bagi PRK Port Dickson melawan Anwar.

“Peluang masih terbuka untuk saya dipilih sebagai calon BN, dan pucuk pimpinan BN pastinya akan meletakkan calon yang terbaik bagi pada PRK Port Dickson nanti.

“Semoga kita semua berusaha ianya menjadi kenyataan. Lawan tetap lawan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon bagi menentang Anwar bagi kerusi P132 itu.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengumumkan mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar dalam usaha membolehkan Presiden PKR itu menyertai Parlimen dan seterusnya diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Papagomo, Anwar Ibrahim, Port Dickson

Artikel Sebelum

Artikel Lain